Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum

Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum

Wednesday, January 5, 2011

Anak Banting's Story : kampungku dalam sejarah


Di kala keseorangan dan ada ketika2 waktu sendirian, sesekali terimbau kenangan lama, terimbas segala memori sewaktu kecil. Saat2 yang telah lama ditinggalkan. Ingatan kembali pada kedamaian sebuah kampung yang suatu ketika dahulu pernah wujud sebagai ibu negeri di dalam sejarah Selangor. Kampung Bandar, di bumi bertuah inilah aku dilahirkan. Di sinilah tetap terpahat tanah tumpahnya darahku, terus bersemadi dalam lipatan sejarah hidupku.

Menyelusuri sejarah perkampungan di pinggir sungai ini, ada sesuatu yang sukar disingkirkan dari lipatan sejarah. Tidak ramai yang tahu di manakah letaknya kampung Bandar tersebut. Mungkin ada rakyat negeri Selangor sendiri yang terpinga2 apabila ditanyakan tentang lokasinya. Sayang sekali, bagaikan dilupakan begitu sahaja perkampungan kecil yang amat bersejarah ini. Kampung Bandar dan Jugra yang berkaitan rapat dalam sejarah Selangor ini, terletak di daerah Kuala Langat, lebih kurang 10 minit perjalanan dari Pekan Banting. Menurut buku Sejarah Melayu tulisan Tun Sri Lanang, kawasan Jugra ini telah wujud sejak zaman Sultan Mansur Syah di Melaka lagi di mana Bendahara Perak yang terkenal di Melaka ketika itu juga merupakan berasal dari Klang, Selangor iaitu tidak jauh dari Banting.

Rumah Api di Bukit Jugra

Lokasi Jugra menghadap ke Selat Melaka dan berdekatan dengan muara Sungai Langat. Dahulunya ia merupakan pusat pentadbiran Negeri Selangor selepas dipindahkan dari Kuala Selangor, sebelum berpindah ke Kuala Lumpur dan akhirnya kekal di Shah Alam sehingga kini. Ia pernah menyediakan pelabuhan untuk kapal2 yang memudiki Sungai Langat dari Selat Melaka dalam misi perdagangan. Sampan, perahu dan tongkang yang membawa keluar bijih timah dari daerah Selangor akan melalui Sungai Langat dan membayar cukai di sini. Kedudukannya strategik kerana berhampiran laut di perairan Selat melaka dan ingin di majukan sebagai sebuah Kota Maritim. Disitulah terdapatnya sebuah rumah api yang di bina di puncak Bukit Jugra.

Bekas tinggalan istana lama Bukit Jugra (tidak sempat di selamatkan)

Istana ini di bina pada 1876 dimana suatu ketika dulu ia menjadi tempat bersemayamnya Sultan Selangor pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan (Sir) Abdul Samad Ibni Almarum Raja Abdullah (1859-1898), iaitu Sultan Selangor ke-4 dan lebih dikenali sebagai Marhum Jugra. Dataran Abdul Samad di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur yang sangat popular itu merupakan sempena nama baginda. Pada 1898 Sultan Alauddin Sulaiman Syah di tabalkan sebagai Sultan Selangor yang ke-5 di Istana Jugra.

Nama Jugra juga di ambil sempena kawasan ini pernah menjadi habitat kera dan di kenali sebagai `Tanjung Kera'. Orang Inggeris menamakannya `Tanjung Kera' sebagai Jugra mengikut cara sebutan mereka yang tidak fasih berbahasa Melayu. Nama `Tanjung Kera' di tukar kepada `Bandar Temasya' oleh Sultan Abdul Samad dan nama Bukit Jugra juga kekal sehingga kini. Asal usul kisah pembukaan kampung Bandar ini dan Bukit Jugra saling berkait dengan kisah kerabat diraja Selangor. Menurut Raja Kassim Raja Jaafar, antara salah seorang penduduk yang paling lama menetap di situ, Jugra berasal dari tubuh seorang puteri Negeri Kedah yang meninggal dunia ketika melarikan diri kerana akan dinikahkan dengan Raja Riau. Tubuhnya kemudian hanyut ke laut menjadi sebuah pulau yang berbukit dan mempunyai tiga buah puncak yang sama tinggi iaitu :

Kawasan Kompleks Makam Diraja Jugra
  • Bukit 1 - makam2 Diraja yang meliputi kawasan seluas 5 ekar. Ia di pilih sebagai kawasan pemakaman keluarga DiRaja Selangor pada 1886 dan di kenali sebagai Kompleks Makam Diraja. Antaranya Makam Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Tengku Abdullah yang mangkat pada 1898 (persemadian). Manakala di luar kompleks terdapat Makam Almarhum Tengku Musa, Makan Almarhumah Tunku Alfah binti Almarhum Sultan yaakob, Almarhum Tunku Maharum, Almarhum Raja Berkat, Makam Almarhumah Tengku Muteh Ibni Sultan Abdul Samad dan Yang Mulia Raja Kahar.
  • Bukit 2 - Bangunan lama dan kesan2 sejarah untuk pembesar dan kerabat Diraja.
  • Bukit 3 - Pantai dan kawasan Rumah Api Bukit Jugra yang setinggi 146 meter dibina pada 1976 dan ditadbir oleh Jabatan Marin Malaysia. Terdapat juga bangunan untuk mencerap anak bulan milik Jabatan Mufti Negeri Selangor
Istana Bandar Temasya di Kampung Bandar

Sebuah lagi istana yang dikenali sebagai istana Bandar Temasya, lebih besar di bina di Kampung Bandar. Lokasinya tidak jauh dari Bukit Jugra dan di beri nama Istana Alauddin. Sultan Alauddin Sulaiman Syah mendirikannya istana pada awal zaman pemerintahannya iaitu pada 1899 yang juga terletak berhampiran dengan Masjid Bandar. Tapak bangunan ini berhampiran dengan sungai dan jalan raya yang menghubungkan Bandar Temasya dengan Jugra dan Klang.

Istana ini menggambarkan seni bina yang dianggap unik bukan sahaja dari aspek kronologi sejarahnya tetapi juga dari aspek rekabentuk terutamanya penggabungan senibina pelbagai bahasa iaitu kolonial dan bahasa tempatan tetapi disesuaikan mengikut konteks kehidupan dengan elemen bahan binaan dan keupayaan teknologi moden. Keseluruhan istana ini ditutupi dengan bumbung limas yang menggambarkan senibina Aceh, namun aras bumbung limas ini berbeza2 ketinggiannya kerana dikatakan untuk menggambarkan struktur hierarki pentadbiran dalam istana. Fasadnya berbentuk simetrikal menurut ciri kolonial seperti juga pada tiang2 yang digunakan dipengaruhi reka bentuk seni bina Rome dan Gothik serta penggunaan dinding bata yang tebal. Terdapat juga pengaruh dari seni bina Asia Barat terutamanya dari segi pahat dan seni ukir yang ada pada bahagian tingkap dan pintu.

Istana ini dikatakan mempunyai 15 buah bilik dan di bina dengan adunan senibina Islam dari India dan Timur Tengah. Ia turut di bina bersama2 dengan tukang2 Cina mahir yang menerapkan unsur2 seni ukiran dan ragam hias pengaruh Cina. Selain itu binaan bangunan istana ini juga mempunyai landskap yang menarik serta kolam2 yang terletak di bahagian hadapan istana. Istana dua tingkat ini di bina di atas tanah seluas 12.96 ekar. Bahagian tengah terdapat 2 tingkat mengandungi 4 bilik iaitu bilik peraduan, bilik mengadap, bilik tetamu raja dan persemayaman baginda. Di bahagian atas mengarah ke utara diadakan beranda iaitu kawasan lapang tidak beratap dan berdinding kisi2 batu sebagai tempat berehat dan jamuan kecil diraja

Istana ini dibahagikan kepada tiga hierarki ruang yang utama iaitu ruang umum bagi kegunaan rakyat, ruang separa umum untuk pekerja istana dan ruang persendirian yang dikhaskan bagi kerabat dan golongan diraja. Ruang yang terletak di tingkat pertama lebih bercirikan kepada ruang umum dan separa umum manakala ruang di tingkat bawah terdiri daripada bilik2. Istana ini mempunyai 40 bilik kesemuanya. Elemen reka bentuk dan bahan binaan keseluruhan bangunan ini dibina daripada batu-bata dan konkrit. Dindingnya terdiri daripada dinding tanggung beban dan dinding dari jenis tiang dan alang.

Bahagian koridor dan bahagian ruang yang luas di tingkat atas menggunakan sistem struktur rentangan. Lantai bagi ruang tingkat bawah dibina daripada lantai konkrit berjubin manakala ruang atas keseluruhan istana menggunakan lantai kayu cengal. Terdapat banyak tangga yang digunakan untuk ke dalam dan keluar istana dan di antaranya ialah tangga utama pada bahagian hadapan di mana ia berbentuk melengkung dan diperbuat daripada konkrit serta dihiasi dengan kekisi dan minaret pada bahagian atasnya. Tangga yang berdekatan bilik beradu pula dikhaskan untuk golongan kerabat diraja sahaja. Terdapat juga tangga kayu yang digunakan dan diperbuat daripada kayu cengal.

Sebahagian bangunan beratap genting yg menempatkan mahkamah, penjara dan bilik beradu sultan serta dua orang permaisuri baginda (di kiri dan kanan bilik). Baginda seorang yg amat berpegang teguh pada ajaran Islam. Pintu gerbang diberi nama Pintu Kecelakaan kerana ia merupakan laluan utama pesalah yg akan dibicara dan menerima hukuman. Tangga batu menuju ke kawasan istana yg masih utuh. Cuma sesetengah bangunan kayunya yg memerlukan pembaikan dan pemulihan. Sultan Alauddin Sulaiman Shah ditabalkan di sini. Majlis pertabalan tersebut merupakan majlis utama paling akhir diadakan. Perigi berbentuk segiempat memang unik. Bila paras airnya meningkat, itu menandakan air pasang di laut. Jika paras airnya rendah, menunjukkan air laut surut. Manakala perigi berbentuk heksagon dikatakan laluan rahsia ke terowong bawah tanah yg mungkin telah digunakan untuk bersembunyi atau melarikan diri daripada ancaman musuh. Ia mungkin juga telah menjadi tempat penyimpanan senjata. Perigi ini telah ditimbus bagi mengelakkan kejadian yg tidak diingini.

Istana ini mempunyai 27 bukaan tingkap yang mengunakan panel kayu iaitu kayu ram boleh laras dan saiznya bergantung kepada fungsinya samaada untuk bukaan di ruang utama awam atau ruang peribadi. Pintunya pula kebanyakannya dibina daripada kayu dan ia juga bergantung kepada fungsi dan kegunaannya. Struktur tiang bahagian bawah dibina daripada batu bata dan dipenuhi dengan ukiran dan motif tumbuhan, manakala struktur tiang di bahagian atas agak lebih kecil iaitu berukuran 400 m x 400 mm.

Bumbung bertingkat pula dibina untuk menutupi ruang utama yang dikhususkan untuk keluarga diraja, ruang dapur dan balai nobat manakala bumbung rata ditambah pada awal 1900 semasa istana ini diubahsuai. Ia memaparkan hasil karya seni bina yang berbeza dan merupakan hasil warisan seni bina yang terunggul di rantau Asia Tenggara ini.

Setelah kawasan ini dibuka dan dibangunkan, ramai pendatang dari luar seperti orang orang Jawa datang bertapak dan memajukan kawasan ini. Maka tidak hairanlah jika di teliti di kawasan perkampungan di sini ramai terdiri dari kalangan orang2 Jawa dan melayu berketurunan raja. Menurut sejarah, istana ini dibina semasa berlakunya krisis dalam istana tersebut berkenaan peristiwa ketidaksefahaman yang berlaku antara isteri Sultan Alauddin iaitu Tengku Ampuan Mahrum dan isteri baginda dari kalangan orang kebanyakan, Hajah Safiah. Namun begitu pada dua hingga tiga tahun pertama, istana ini digunakan sebagai tempat bersemayam baginda sultan bersama isteri baginda iaitu dari keturunan orang kebanyakan sehingga isteri baginda mangkat pada tahun 1920-an. Keseluruhan bangunan istana ini direka bentuk dan dibiayai oleh Sultan Alauddin dan baginda bersemayam di istana ini lebih kurang 35 tahun.

Walaupun sejak 1903, setelah baginda di tabalkan dengan rasminya dan bersemayam di Klang, baginda sentiasa melakukan solat Jumaat di Masjid Bandar di samping bertemu isterinya, Hajah Safiah di Istana Bandar. Dan istana itu akhiranya benar2 kosong selepas kemangkatan baginda pada 1938. Sekurang2nya ia telah menjadi satu bukti kukuh yang Bandar Temasya ini terkenal sehingga 3 dekad pertama pada abad ke-20. Istana ini juga merupakan tempat Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj diputerakan. Dari nama Istana Bandar Temasya inilah wujudnya nama kampungku, Kampung Bandar. Pada 1926 Istana Bandar dijadikan tempat pertabalan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hishamudin Alam Shah sebagai Sultan ke-7 Selangor.

Selepas merdeka tahun 1957 istana ditinggalkan kerana pemindahan pusat pemerintahan ke Kuala Lumpur. Istana ini telah dijadikan Pusat Kraftangan Daerah tetapi telah dikosongkan semula kerana kurang mendapat sambutan. Pada 1988 istana ini telah dibaikpulih semula setelah mengalami kerosakan yang teruk. Istana ini pernah dijadikan Pusat Tahfiz Al-Quran oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Namun atas alasan2 tertentu, pelajar2 tahfiz berpindah ke Pusat Tahfiz lain yang di bina tidak jauh dari istana tersebut.

Masjid Sultan Alaeddin di Kampung Bandar

Selain dari istana, terdapat sebuah masjid iaitu Masjid Sultan Alaeddin yang dikenali juga sebagai Masjid Bandar. Ianya dibina semasa pemerintahan Al-Marhum Sultan (Sir) Alaeddin Sulaiman Shah ibni Al-Marhum Raja Muda Musa, iaitu Sultan Selangor yang ke 5 (1863-1938). Baginda merupakan cucunda kepada Al-Marhum Sultan Abdul Samad. Masjid ini telah dibina pada tahun 1905, seiring dengan pembinaan Istana Bandar bersebelahan dengan tapak masjid. Masjid ini telah dirasmikan oleh baginda pada 1926 dan dijadikan masjid negeri Selangor pada zaman itu. Ia di bina atas ilham baginda sendiri dan baginda sering membaca khutbah jumaat, Khutbah Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Haji di sini.

Senibina masjid ini mempunyai ciri2 rekabentuk campuran India-Muslim dan Islam Timur Tengah. Ianya dikatakan mempunyai pengaruh senibina pemerintahan Deli di Medan, Sumatera Utara. Sekali pandang pada bentuk masjid ada imbasan arca istana zaman silam dalam cerita2 dongeng Aladdin dan Kisah 1001 malam. Banyak pengubahsuaian dan tambahan telah dijalankan terutama sekali pada bahagian dalamannya. Keseluruhan dinding dalaman telah disolek dengan penyudah kayu beralur, manakala sebelah dalam kubah telah di litupi dengan siling kayu dekoratif, di hiasi dengan motif kalimah syahadah dan nama2 Khulafa' Arrasyidin.

Bentuk asal kubah dari dalam sudah tidak keli
hatan lagi. Kawasan lapang tidak berbumbung yang pada asalnya merupakan laman terbuka tanpa lantai telah diratakan dan disudahi dengan lantai jubin sebagai ruang solat tambahan. Bangunan utama masjid yang berkubah di kelilingi oleh dinding tinggi bertingkap jeriji. Disetiap sudut terdapat menara yang sederhana tingginya. Di tengah dinding bahagian hadapan masjid pula di bina menara azan bersegi delapan yang mempunyai dua aras tinjauan, berkubah keemasan dipuncaknya. Keseluruhannya ibarat kubu kota pertahanan yang mengelilingi sebuah istana raja.

Menyingkap latarbelakang, nama penuh baginda adalah Sultan Alaeddin Sulaiman Syah bin Raja Muda Musa bin Sultan Abdul Samad bin Raja Abdullah bin Sultan Ibrahim Syah bin Raja Lumu (Sultan Salehuddin Syah - Sultan Selangor pertama) bin Upu Daeng Celak (Yamtuan Muda Riau ke-2).
Memperhatikan jalur keturunan di atas dapat dipastikan bahawa dari sebelah ayah baginda, Sultan Sulaiman adalah keturunan anak Raja Bugis yang berasal dari Luwuk, Sulawesi dan dari sebelah ibu baginda adalah keturunan puteri Kerajaan Riau. Datuk neneknya, Raja Lumu adalah adik beradik dengan pahlawan Melayu yang terkenal, iaitu Raja Haji asy-Syahid fi Sabilillah yang meninggal dunia dalam peperangan melawan Belanda di Teluk Ketapang, Melaka pada 18 Jun 1784 Masihi. Raja Haji secara rasminya dianugerah sebagai Pahlawan Nasional Indonesia yang disertai dengan Piagam dan Tanda Kehormatan Bintang Mahaputera Adipradana pada 11 Ogos 1997 oleh Presiden Republik Indonesia yang ditandatangani oleh Soeharto.

Apapun, masjid inilah selalu diadakan majlis2 keagamaan bagi mengeratkan ukhwah sesama penduduk kampung. Sewaktu kecil dahulu aku selalu jua melibatkan diri dalam acara Maulidur Rasul, Musabaqah mahupun mengaji di sini. Ya, rumahku jua memang tidak jauh dari lokasi Istana dan Masjid Bandar tersebut.


Sumber : PROF. DR. MOHAMAD TAJUDIN MOHAMAD RASDI ialah Pengarah Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (Kalam), Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.

p/s : Kalau nak tahu..ehem...sekadar satu perkongsian, arwah nenekku pernah berkhidmat sebagai salah seorang dayang di Istana Bandar Temasya itu. Bapaku juga merupakan seorang penjaga merangkap tukang kebun bagi memelihara Istana tersebut dari tidak terus terbiar dan musnah di telan masa. Heritage yang perlu di pelihara.

Related Articles :


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sahabat2 Setia

izryn's blog Copyright © 2010 Premium Wordpress Themes | Website Templates | Blogger Template is Designed by Lasantha.