Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum

Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum

Thursday, November 11, 2010

Anak Banting's Story - pengenalan


lokasi Banting - ihsan gugel

Kesibukan Bandar Banting

Banting? Anda tahu di mana letaknya bumi Banting itu? Mungkin namanya tidak se`gah' daerah2 lain namun di Selangor, ianya cukup di kenali. Tempat jatuh lagi di kenang. Inikan pula tempat tanah tumpahnya darahku. Inilah bumi kelahiranku. Mungkin tidak ramai yang tahu asal-usulku. Malah ramai yang tidak tahu tentang `Banting' nama yang terus abadi dalam sijil kelahiranku. Maka entri kali ini ku bawa anda mengenali tempat kelahiranku.

Selamat Datang...

IPD Banting sekarang

Uptown Banting

Pusat Angkasa Negara di Banting

Secara `Am'nya, Banting terletak di negeri Selangor Darul Ehsan pada kedudukan 2.8' utara dan 101.6' timur. Ia merupakan bandar pentadbiran bagi daerah Kuala Langat. Banting terletak di tepi Sungai Langat. Mempunyai rangkaian jalan raya yang baik dari bandar Klang, Banting dan Port Dickson, Negeri Sembilan. Tidak perlu risau jika mahu ke bandar2 utama seperti KLIA Sepang, Putrajaya, Bandar Di Raja Klang dan Kuala Lumpur kerana perkhidmatan awam seperti bas dan teksi sedia menyambungkan lokasi2 tersebut. Perjalanan dari Kuala Lumpur mengambil masa kira-kira sejam melalui Lebuh Raya Maju Expressway dengan kadar tol RM2.50 sehala. Manakala perjalanan dari Banting ke KLIA memakan masa hanya 30 minit sahaja dan ini menjadikan Banting sebagai pusat perdagangan dan perindustrian bagi Daerah Kuala Langat. Di Banting juga terdapat lokasi2 menarik yang sedia untuk di kunjungi. Istana Bandar, Masjid Alaeddin, Makam Sultan Abdul Samad, Jugra dan Pantai Morib antara yang popular.

Pada ketika dahulu, Banting merupakan sebuah pekan dan kini telah melalui pembangunan pesat sejak pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA) pada tahun 1998. Banting juga terkenal di Daerah Kuala Langat melalui fungsinya sebagai pusat pentadbiran kerajaan di daerah ini dan bakal dinaiktarafkan kepada Majlis Perbandaran tidak lama lagi. Selain itu, usaha sedang dibuat bagi membangunkan Banting dan kawasan sekitarnya sebagai Lembah Klang Dua yang juga melibatkan beberapa kawasan di utara Negeri Sembilan.


Mungkin inilah dia`banteng'

Ingin mengetahui sejarah Banting? Menurut cerita yang disampaikan secara lisan oleh orang-orang dahulu, kawasan Banting merupakan tanah sawah yang sering digenangi air dan dipanggil tanah paya atau lembah. Petani pada masa dahulu menggunakan alat serba kuno seperti bajak atau tenggala yang diheret oleh “banteng” iaitu sejenis kerbau yang memiliki kekuatan tenaga yang lebih berupaya dan garang. Dari tahun ke tahun, petani-petani di sini mendapatkan hasil lebih lumayan daripada tempat-tempat lain. Di mana adanya gula, disitulah semut tertumpu, begitulah juga dengan mereka, petani-petani dari tempat lain mulai tertumpu ke sini. Sebuah pekan kecil juga wujud bagi menampung penjualan keperluan orang ramai. Bersempena dari terlalu banyaknya kerbau berkulit hitam bernama “banteng” yang berkeliaran di situ maka tempat tersebut di namakan Banting sehingga sekarang ini. Begitulah gamaknyer...

Jambatan Banting dan Sungai Langat yang merentangi

Begitu juga asal-usul Kuala Langat, ia dikaitkan dengan kedudukannya yang terletak di sebatang sungai yang bernama Sungai Langat. Menurut sumber lisan ada yang mengatakan bahawa Langat itu berasal dari perkataan minangkabau yang membawa maksud " air hangat". Pada masa dahulu pedagang-pedagang menggunakan Sungai Langat sebagai jalan perdagangan dan mereka mendapati air di bahagian kuala sungai tersebut sentiasa hangat. Lama kelamaan tempat dipersekitarannya disebut Kuala Langat. Ada juga yang menyatakan terdapat banyak ikan selangat di dalam sungai tersebut. Masyarakat melayu disekitar sungai itu dahulu terlibat dengan kegiatan menangkap ikan. Ada logiknya juga nama langat yang dikaitkan dengan banyaknya ikan selangat yang terdapat di sungai itu.

Sumber utama penduduk Banting

Bersesuaian dengan kegiatan ekonominya di bidang pertanian, bentuk muka bumi di sini kebanyakannya bertanah rata. Tanaman kelapa sawit merupakan tanaman ataupun sumber utama penduduk Banting dengan kebanyakannya diusahakan di ladang-ladang milik sendiri. Melalui penjualan buah kelapa sawit, mereka boleh memperoleh pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan. So, jangan pelik kalau berada di kawasan kampung di Banting, ia kelihatan tidak ubah seperti kawasan felda yang di penuhi kelapa sawit. Negeri Selangor juga merupakan salah satu negeri yang mempunyai keluasan ladang kelapa sawit yang terbesar di Malaysia.

Ladang Teh di Banting

Selain kelapa sawit, Bandar Banting juga mempunyai ladang teh dengan keluasan kira-kira 500 hektar. Tidak ramai yang mengetahui bahawa penanaman teh turut diusahakan di Kampung Seri Cheeding, Banting oleh Boh Plantation Sdn. Bhd pada tahun 1927. Ia merupakan sebahagian daripada hak milik syarikat Boh Plantation yang turut mengusahakan ladang teh terbesar di Malaysia bertempat di Cameron Highlands, Pahang. Lebih di kenali sebagai ladang teh tanah rendah dan bersuhu sederhana, ia juga di tanam di bawah pokok kelapa sawit secara berselang seli dan merupakan yang pertama di dunia. Kilang pemprosesan daun teh turut dibina di kawasan ladang. Pasaran utama daun teh tertumpu kepada pasaran tempatan dan turut dieksport ke Indonesia, Jepun dan Eropah. Haa...jangan tak percaya tau !!

Senja di Pantai Morib

Sekiranya anda mencari satu kawasan yang jauh dari kesibukan dan kebisingan kota, Pantai Morib merupakan pilihan yang bijak. Pantai ini memang cukup terkenal di Banting sebagai salah satu kawasan beristirehat berpantai di daerah Kuala Langat, ia merupakan
destinasi yang paling sesuai bagi pengunjung yang datang dar
i Kuala Lumpur yang ingin melepaskan diri daripada tekanan kerja kerana jaraknya yang tidak jauh. Perjalanan untuk ke sampai ke Morib dari Kuala Lumpur adalah melalui Jalan Persekutuan ataupun melalui North Klang Valley Expressway via Klang. Dari Klang, teruskan perjalanan anda sehingga Banting sebelum tiba di Morib.Untuk sampai ke Morib melalui bas, anda cuma perlu menaiki bas Kuala Lumpur – Banting dari Stesen Bas Old Klang. Setibanya di Banting, anda boleh samada menaiki bas Sepang ke Morib ataupun menyewa teksi di perhentian teksi bersebelahan dengan perhentian bas di Banting. Kemudahan yang terdapat di Pantai Morib termasuklah juga sebuah pentas serbaguna, gelanggang gasing, padang bola sepak pantai, gerai-gerai makan dan Pusat Pelancongan Darul Ehsan (DETC).


Program Homestay di Kuala Langat bermula pengujudannya di Kampung Kanchong Darat dan Kampung Endah, yang telah dimulakan pada Julai 1998. Pada tahun 2002, Kampung Batu Laut telah dimasukkan dalam program ini. Ketiga-tiga kampung ini telah banyak meraih kejayaan di dalam pertandingan kampung yang dianjurkan oleh pihak Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Kampung Kanchong Darat telah dinobatkan sebagai johan antara johan pertandingan Keindahan, Kebersihan dan Kemajuan Kampung Peringkat Kebangsaan tahun 2000, manakala Kampung Endah menjadi johan pertandingan Keindahan, Kebersihan dan Kemajuan Kampung Peringkat Kebangsaan pada tahun 1990 dan Kampung Batu Laut menjadi johan pertandingan Desa Cemerlang Peringkat Kebangsaan pada tahun 2002.

Jeti Kelanang

Tidak ramai yang mengetahui kewujudan Pantai Kelanang yang terletak kira-kira 15 km dari Bandar Banting dan berdekatan dengan Pantai Morib. Kawasan pantainya, berpasir dan ditumbuhi pokok-pokok rhu. Pesisiran Pantai Baru Morib ke Pantai Kelanang dipenuhi oleh pokok kayu bakau sejauh 7 KM. Pantai yang landai dan berteluk-teluk menjadikan pantai ini selamat untuk bermandi-manda. Pantai Kelanang bukan sahaja dikunjungi oleh pelancong dari dalam negeri, malah beberapa orang penyelidik dari Australia pernah berkunjung ke sini untuk membuat kajian ke atas spesies ular kapak yang hidup di persekitaran kawasan paya bakau yang banyak terdapat di sini. Pantai Kelanang menjanjikan ketenangan untuk setiap pengunjung yang datang ke sini. Pengunjung akan dapat menghayati keindahan pantainya selain berasa selesa dengan kemudahan yang disediakan seperti surau, tempat letak kereta dan gerai-gerai makanan.

Penangkapan ikan secara tradisional di sekitar Kelanang, Tanjung Sepat dan Batu Laut merupakan salah satu aktiviti tumpuan nelayan pantai sebagai sumber pendapatan.

Pantai Tanjung Rhu terletak di bahagian barat daya Pulau Carey, tidak kurang hebatnya. Ianya menjadi tumpuan pelancong pada setiap hujung minggu. Mempunyai lebih kurang 2.5KM persisiran pantai yang putih. Menjadi tempat berlabuhnya nelayan di Pulau Carey. Pasir yang putih mengamit ramai pengunjung untuk berkunjung di Tanjung Rhu. Tiada kemudahan asas yang disediakan di pantai ini. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 20minit dari pintu masuk ke Pulau Carey.

Pulau Carey yang terletak di selatan Pelabuhan Klang, merupakan penempatan kepada komuniti kaum Mah Meri (disebut Mak Miri). Walaupun terdedah kepada arus perkembangan semasa, suku kaum Mah Meri ini masih mengamalkan cara hidup dan budaya kaum orang asli Mah Meri. Selain daripada persembahan muzik dan tarian tradisi mereka, kaum Mah Meri juga terkenal dengan ukiran kayu daripada sejenis kayu yang dinamakan kayu ‘Nyireh’. M

asyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey mempunyai pola petempatan yang berbeza. Kebanyakan rumah masyarakat Orang Asli didirikan secara berselerak di kawasan masing-masing. Jumlah penduduk di sini adalah kira-kira 400 orang yang kebanyakannya bekerja sendiri.

Satu pertiga daripada penduduk Banting bekerja di kilang-kilang di kawasan sekitar misalnya kilang elektronik, perabot dan kertas di Olak Lempit dan Teluk Panglima Garang. Premis-premis perniagaan juga disediakan di Pusat Bandar Banting untuk penduduk yang berminat menjalankan perniagaan. Antara premis perniagaan yang terdapat di sini ialah kedai menjual pakaian, restoran, bengkel motosikal dan banyak lagi. Selain itu, ada penduduk kampung yang mengusahakan pembuatan kerepek di sekitar Banting di bawah Program Industri Kecil Sederhana (IKS). Sebut sahaja mengenai kerepek, pasti ramai mengetahui bahawa kerepek di Banting boleh dibeli pada harga yang murah berbanding di tempat lain. Antara kampung yang terkenal dengan perusahaan kerepek ialah Kampung Sungai Lang, Kampung Sungai Kelambu, Kampung Kanchung Darat dan Kampung Batu Laut. Selain kerepek, produk lain yang turut mendapat sambutan adalah kuih baulu, air mineral dan biskut raya.

Terdapat beberapa kawasan riadah yang disediakan di Bandar Banting seperti Dataran Banting yang merupakan kawasan rekreasi yang menjadi tumpuan penduduk. Penduduk Bandar Banting boleh melakukan aktiviti riadah seperti bermain bola dan bersenam. Di samping itu, taman-taman permainan yang disediakan menjadi tumpuan kanak-kanak. Pusat Belia Daerah Kuala Langat pula menyediakan sebuah dewan yang dilengkapi gelanggang badminton dan sebuah gimnasium. Kalau anda masih ingat, Banting merupakan satu2nya lokasi pertama Piala Thomas di bawa pulang dan di bawa berarak kerana kejayaan keluarga Sidek mengharumkan Malaysia dalam sukan badminton.

Bandar Banting juga dilengkapi dengan gelanggang futsal yang semakin digemari oleh golongan anak muda di sini. Padang bola sepak di sekolah-sekolah juga menjadi tumpuan remaja dan belia pada setiap petang. Bagi mereka yang cenderung kepada sukan dalaman seperti boling, mereka boleh mengunjungi Pusat Boling di Kompleks Gancity di Bandar Banting.

Pembangunan sesebuah bandar juga dapat dilihat melalui tahap pendidikan dan kecemerlangan akademik. Selain pembinaan sekolah-sekolah, kewujudan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di sesebuah bandar atau tempat dapat menjana kepesatan ekonomi memandangkan bandar tersebut menjadi tumpuan orang ramai. Ini dapat di lihat dengan pembinaan ILP, IKBN dan beberapa kolej di sekitar Banting. Ini bermakna pendidikan di Banting sudah mencapai tahap yang lebih bagus daripada sebelumnya. Pada 2007, sekolahku, SMK Teluk Datuk merupakan sebuah sekolah bestari yang terbaik di Bandar Banting. Pada peringkat Sijil Peperiksaan Malaysia, sekolah tersebut telah mencapai 90 peratus kejayaan. Tahniah !!

Wayang opera China yang masih beroperasi

Manakala, penduduk di Banting berjumlah 125,200 orang dan majoritinya terdiri dari orang2 Melayu iaitu kira-kira 45 peratus dan selebihnya adalah kaum Cina, India, Orang Asli dan lain-lain. Ini jumlah perangkaan setakat awal 2010. Manakala Melayu2 di Banting kebanyakannya dari orang2 Jawa yang sedikit sebanyak mengamalkan cara hidup masyarakat Jawa. Penduduk Banting tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, malah ramai juga yang menetap di beberapa buah kampung sekitar. Walaupun mempunyai penduduk pelbagai kaum, namun mereka mengamalkan sikap bertoleransi dan saling tolong-menolong antara satu sama lain. Kawasan Banting terbahagi kepada dua iaitu kawasan bandar dan kampung. Kedua-dua struktur petempatan di sini adalah tersusun dan terancang terutamanya di taman-taman perumahan dan juga kampung-kampung.

Manakala pekan-pekan sekitar Bandar Banting ialah Pekan Jenjarum dan Pekan Teluk Panglima Garang. Kesemua kawasan tersebut dihubungkan melalui jalan raya utama dari Bandar Banting yang agak baik kerana Bandar Banting semakin pesat membangun. Justeru, Banting menjadi pusat tumpuan penduduk dari pekan dan kampung sekitarnya. Hubungan mereka juga menjadi erat dan diperkukuhkan lagi melalui aktiviti-aktiviti sosial yang sering diadakan di Bandar Banting. Penduduk Banting juga selalu meraikan Pesta Morib pada setiap tahun. Pelbagai acara dianjurkan bagi memeriahkan lagi pesta seperti sukaneka, pertandingan gasing dan layang-layang serta persembahan tarian dan nyanyian. Acara gilang-gemilang ini turut mendapat sambutan daripada pengunjung luar daerah dan menjadikan Pantai Morib sebagai salah satu destinasi tarikan pelancong berkunjung ke Bandar Banting.
Paragliding yang merupakan sukan popular di seluruh dunia juga antara aktiviti popular di Banting. Aktiviti meluncur ini memerlukan kawasan tanah tinggi bagi memudahkan melancarkan penerbangan. Bagi penggemar sukan ini, Bukit Jugra merupakan lokasi terbaik di Asia. Selain dari itu,
Kuala Langat mempunyai pelbagai jenis eco-tourism seperti Paya Indah Wetlands yang terletak berhampiran dengan Putrajaya, Nature Center (Pakas) di Kampung Endah dan Taman Buaya.

Sesungguhnya, terlalu banyak yang ingin ku kisahkan. Kisah dahulunya Banting..ketika kecil dan remajanya aku di besarkan di Banting dan bezanya Banting sekarang. Terlalu bnyak perubahan yang ingin ku ceritakan tentang Banting, bumi kelahiranku. Sebagai pengenalan cukuplah ku kongsikan sebagai satu pengenalan di episod ini, antara perjalanan ku sebagai anak kelahiran Banting. Bertemu di episod akan datang...Insyaallah.

sumber : internet (tenkiu...gugel dengan imej)

p/s : Rindunya cendol Banting. Kalau balik kampung, cendol Banting sentiasa menjadi sasaran utk di belasah mahupun di tapau bawa pulang.......tak caya..cuba try test...hehe

Related Articles :


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

2 comments:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Unknown said...

Clarita yang menarik tetapi bosan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sahabat2 Setia

izryn's blog Copyright © 2010 Premium Wordpress Themes | Website Templates | Blogger Template is Designed by Lasantha.