Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum

Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum

Thursday, November 4, 2010

Antara Manusia Dan Kerbau


Seorang teman saya pernah menceritakan satu cerita yang boleh kita kongsi bersama untuk dijadikan satu renungan siapakah kita sebenarnya. Kisah antara seorang petani dan kerbau yang mengungkap di manakah keberadaan kita dalam kehidupan ini dan menjelaskan siapakah kita serta diakhir kisah ini kita perlu melihat adakah kita akan berada di sebelah petani atau anda merasakan yang kerbau adalah golongan yang patut anda pertahankan kerana ianya juga melambangkan sesuatu yang anda jalani seharian sehingga kini.

Kisahnya begini, di sebuah kampung hidup satu keluarga petani yang aman bahagia. Petani tersebut mempunyai anak dan isteri yang amat memahaminya serta sentiasa berada bersama dengannya biar dalam suka mahupun duka. Kehidupan mereka tidak begitu senang namun jauh dari kesusahan. Mereka berkecukupan dari segala hal.

Sudah menjadi rutin petani tersebut untuk pergi ke sawah pada setiap hari manakala si isteri akan melakukan kerja rumah dan anak-anak mereka akan melaksanakan tugas sebagai pelajar. Jika dilihat dari sudut kehidupan duniawinya, tiada apa yang perlu dibimbangkan oleh mereka, aman, bahagia berkecukupan. Mereka bertanggungjawab atas tugas masing-masing dan mereka saling hormat menghormati.

Namun ada sesuatu yang mungkin pincang, justeru itu mari kita ikuti perjalanan kehidupannya seharian agar kita dapat renungkan masalah yang sebenarnya dihadapi oleh si petani.

Si petani akan bangun awal pagi untuk bersiap ke sawah dan seperti biasa dia perlu mandi membersihkan diri dan kemudian bersiap serta menikmati sarapan yang disediakan oleh isterinya. Si petani ini mempunyai seekor kerbau, kerbaunya tahu tuannya akan bangun awal pagi untuk menjalankan tugas di bendang maka sang kerbau juga terpaksa bangun awal dan bersiap dengan memakan apa yang ada untuk member tenaga agar dapat bekerja di bendang.

Setelah menikmati sarapan pagi yang dapat memberi tenaga maka si petani keluarlah untuk ke bendang. Dia pun terus ke kandang kerbaunya lalu ditariknya untuk membawa ke bendang.

Berkatalah sang kerbau dalam hatinya “aku tahulah aku kena kerja, tak perlulah aku ditarik”. Meskipun merungut di dalam hati tetapi sang kerbau tetap patuh pada tuannya biarpun kadangkala dia tidak faham mengapa tuannya perlu memerintahnya kerana ia juga tahu akan kerjanya.

Sesampainya di sawah, sang kerbau dikerahkan untuk membajak.Melihat si kerbau lembab dalam melaksanakan kerja yang disuruh maka dirotannya kerbau tersebut agar membuat kerja dengan pantas. Tanpa merungut bergeraklah si kerbau dengan pantas demi mematuhi perintah tuannya kerana pada fikiran sang kerbau, jika dia melawan nanti dia akan tidur dalam kesejukan di luar kandang dan terpaksa bersusah payah untuk mencari makan, walhal sekarang dia begitu mudah untuk mendapatkan makanan.

Bekerjalah si petani dan sang kerbau dalam keadaan panas hinggalah tiba waktu makan tengahari. Petani tersebut beruntung kerana isterinya akan datang membawa makanan yang sedap lagi menyelerakan kerana isterinya cukup pandai dalam hal masak memasak untk makan tengahari.

Biarpun begitu si petani tetap merengus akibat cuaca yang panas. Apa dah jadi dengan kerbaunya? Sang kerbau melihat tuannya makan tengahari, ia pun terasa lapar dan dahaga, berkatalah si kerbau dalam hatinya “aku yang bekerja teruk di tengah panas tak merungut”. Lalu sang kerbau mencari apa yang boleh dimakan dan mencari air bertakungan untuk dijadikan juadah makanan tengahari.

Selesai istirehat, mereka menyambung kerjanya di bendang hingga waktu petang.Apabila petang menjelma,maka tiba waktu untuk pulang lalu petani berhenti lalu menarik kerbau untuk pulang.

Sewaktu ditarik berkatalah kerbau di dalam hatinya “tak payah tarik, aku pun tahu nak balik… aku pun penat”. Setelah sampai di kawasan rumah, kerbau dimasukkan ke dalam kandang dan disediakah makanan untuk makan malam dan setelah itu si petani pulang ke rumah lalu membersihkan diri untuk makan malam. Setelah makan malam, si petani tidur dan sang kerbau tidur.

Nah… apakah bezanya si petani dan kerbaunya, jika dilihat di sini tiada bezanya, petani makan, kerbau makan… petani kerja, kerbau kerja… petani rehat, kerbau pun rehat. Begitulah kita, jika kita tidak melaksanakan solat maka sama juga kita seperti kerbau hanya tahu melakukan rutinnya bahkan yang lebih menarik, kerbau tersebut masih mendengar kata perintah tuannya.

Oleh yang demikian seandainya kita tidak mendengar kata perintah Allah swt yang maha berkuasa lagi bijaksana maka kita lebih teruk dari seekor kerbau. Biarpun dia kerbau, tiada pelajaran tetapi dia tahu mengikut perintah tuannya walaupun kadangkala masih ada protes.

Maka cubalah letakkan diri kita dalam situasi petani dan kerbau ini. Adakah kita ini sama seperti kerbau kerana dalam kisah ini tiada bezanya petani dan kerbau. Perkara yang dapat membezakannya ialah kepatuhan kepada perintah Allah swt.

Maka marilah kita persoalkanlah dalam diri, adakah layak kita digelar manusia jika tidak mengikut perintahNya sedangkan seekor kerbau masih tahu kedudukannya atau kita layak digelar manusia kerbau kerana tubuhnya manusia namun perjalanan hidupnya seperti kerbau.

Semoga kisah ini dalam direnungkan sedalamnya dan bukanlah tujuannya untuk meletak sesiapa di tahap yang rendah, melainkan ianya untuk dijadikan iktibar untuk diri yang fakir ini serta pembaca yang sudi merenung diri agar tahap kerinduan kita terhadap Allah swt sentiasa bertambah, berkurang jauh sekali.

Sumber : Dr Azhar Sarip (aku-ok.com)

p/s : mulianya seekor kerbau.....

Related Articles :


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sahabat2 Setia

izryn's blog Copyright © 2010 Premium Wordpress Themes | Website Templates | Blogger Template is Designed by Lasantha.