Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum

Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum

Tuesday, December 14, 2010

Asyura dan Muharram


Hari ini bertarikh 08 Muharam 1432H. Bila sebut bulan Muharram, ia merupakan bulan pertama dalam kalendar hijriah di mana tahun berlakunya peristiwa hijrah Rasulullah saw yang menjadi permulaan kiraan kalendar Islam.Tahun berlaku peristiwa hijrah telah ditanda sebagai tahun 1 atau tahun pertama kalendar Islam.

Tetapi peristiwa hijrah Rasulullah saw sebenarnya bukanlah berlaku dalam bulan Muharram. Pengkaji sejarah yang masyhur mengatakan hijrah tersebut berlaku pada bulan Safar.
Allah berfirman, "Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa." (QS At-Taubah: 36)

Bulan Haram yang dihormati itu ialah: Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Umat Islam dilarang berperang dalam bulan-bulan ini kecuali jika mereka diugut. Al Allamah Ibnu Hajar menulis, telah meriwayatkan oleh Abi Daud bahawa Nabi (صلى الله عليه وسلم) memandubkan (yakni SUNAT) berpuasa di BULAN-BULAN HARAM.


Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw bersabda, "Seutama-utama puasa sesudah puasa bulan Ramadan ialah puasa bulan Muharram dan seutama-utama solat sesudah solat fardu ialah solat malam". (Sahih Muslim)


Dari Abu Qatadah Al-Anshari r.a. katanya Rasulullah saw ditanya orang tentang puasa hari Arafah (9 Zulhijjah). Jawab baginda, "Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang". Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari asyura (10 Muharram). Jawab baginda, "semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu". (Sahih Muslim)

Imam Syafi`e Rahimahullahu Ta`ala menyebutkan di dalam kitab Al-Umm dan Al-Imla', disunatkan berpuasa tiga hari iaitu hari kesembilan (Tasu`a'), kesepuluh (`Asyura') dan kesebelas bulan Muharram. Tetapi tidak ditegah jika berpuasa hanya pada 10 Muharram sahaja.

Asyura itu sendiri bererti sepuluh. Menurut tradisi masyarakat Islam, Rasulullah saw melakukan puasa Asyura semenjak di Mekah dan merupakan amalan biasa masyarakat tempatan. Ketika baginda berhijrah ke Madinah, kaum Yahudi turut berpuasa pada hari tersebut. Nabi Musa a.s berpuasa untuk mengekspresikan kegembiraan kepada Tuhan kerana pembebasan kaum Yahudi dari Firaun. Maka Rasulullah saw pun mensyariatkan puasa pada bulan Ramadhan, setahun kemudian sebagai satu kewajipan kerana masyarakat Islam yang dekat dengan Nabi Musa. Manakala puasa pada 10 Muharram hanyalah satu amalan sunat sahaja.

Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, ketika Rasulullah saw tiba di Madinah, baginda melihat orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. baginda pun bertanya, "Hari apa ini ?". Jawab mereka, "Hari ini ialah hari yang baik. Pada hari ini Allah melepaskan Bani Israil dari musuh mereka, kerana itu Nabi Musa berpuasa kerananya".
Sabda baginda, "Aku lebih berhak daripada kamu dengan Musa". Oleh itu baginda berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa pada hari Asyura. (Sahih Bukhari)

Dari Aisyah r.a. katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari Asyura dan Rasulullah saw pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga". (Sahih Muslim)

Dari Salamah bin Akwa r.a. dia menceritakan bahawa Rasulullah saw mengutus seorang lelaki suku Aslam pada hari Asyura dan memerintahkan kepadanya supaya mengumumkan kepada orang ramai, "Sesiapa yang belum puasa hari ini hendaklahlah dia berpuasa dan siapa yang telah terlanjur makan hendaklahlah dia puasa juga sejak mendengar pemgumuman ini sampai malam". (Sahih Muslim)

Dari sudur perspektif Syiah, ketika zaman pra-Islam (sebelum Islam), Asyura diperingati sebagai hari raya rasmi bangsa Arab. Mereka berpuasa, bersyukur dan merayakan sambutan hari Asyura. Dalam sejarah Arab sendiri, hari Asyura adalah hari raya bersejarah dengan mengenakan pakaian baru dan menghias kota2 mereka.

Dari Ibnu Abbas r.a katanya, " Penduduk Khaibar berpuasa pada hari Asyura dan menjadikannya sebagai hari raya, dimana wanita mereka memakai perhiasan dan pakaian yang indah pada hari itu. Lalu Rasulullah saw bersabda, "Puasalah kamu pada hari itu". (Sahih Muslim)

Bagi kalangan Syiah, tarikh ini merupakan hari berkabung atas kesyahidan Saidina Hussain bin Ali, cucu Rasululllah saw semasa pertempuran Karbala pada 10 Muharram 61H (10 oktober 680). Peristiwa Karbala, Iraq ini terjadi antara pasukan Bani Hasyim, yang di pimpin oleh Saidina Hussain dengan pasukan Bani Umayyah yang di pimpin oleh Ibnu Ziyad atas arahan Yazid bin Muawiyah (Khalifah Muawiyah). Ia merupakan satu peperangan antara Islam yang pertama terjadi dalam sejarah. Hampir semua pasukan Saidina Hussain termasuk Saidina Hussain sendiri syahid terbunuh kecuali wanita dan anak Saidina Hussain iaitu, Ali bin Hussain.

Selain dari itu, masyarakat Islam turut percaya akan kejadian di sebalik 10 Muharram :
1. Hari pertama Allah mencipta alam
2. Allah mencipta 7 petala langit dan 7 petala bumi
3. Allah mencipta bulan, bintang, matahari dan cakerawala
4. Hari pertama Allah menurunkan rahmat
5. Hari pertama Allah menurunkan hujan
6. Allah mencipta Kalam
7. Allah menjadikan Arasy
8. Allah menjadikan Luh mahfuz
9. Allah menjadikan Malaikat Jibril
10. Nabi Adam a.s di cipta
11.Allah menjadikan Siti Hawa
12.Allah mencipta syurga
13.DimasukkanNabi Adam a.s ke dalam syurga
14. Diampunkan dosa Nabi Adam a.s setelah bertahun2 memohon keampunan kerana melanggar larangan Allah
15. Nabi Idris a.s diangkat darjatnya oleh Allah dan Malaikat Izrail membawanya ke langit
16. Diselamatkan Nabi Nuh a.s dan pengikutnya dari banjir besar selama 6 bulan dan bahtera baginda selamat berlabuh di puncak pergunungan.
17. Nabi Ibrahim a.s dilahirkan di kawasan pedalaman dan terselamat dari buruan Raja Namrud
18. Nabi Ibrahim a.s diselamatkan Allah dari api Raja Namrud
19. Nabi Yusuf a.s di bebaskan dari penjara setelah meringkuk di dalamnya selama 7 tahun
20. Nabi Yaakub a.s telah sembuh matanya ketika kepulangan anaknya, Yusuf di hari tersebut
21. Nabi Ayub a.s disembuhkan dari penyakit kulit yang dideritainya
22. Nabi Musa a.s telah diselamatkan daripada tentera Firaun dan berlakunya kejadian terbelahnya Laut Merah. Firaun dan pengikutnya tenggelam ke dalam lautan.
23. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s
24. Nabi yunus a.s selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam
25. Kesalahan Nabi daud a.s di ampuni Allah
26. Nabi Sulaiman a.s dikurniakan Allah kerajaan yang besar
27. Nabi Isa a.s diangkat ke syurga ketika di buru tentera Rom untuk menangkap dan menyalib baginda

Amalan2 sunat pada Hari Asyura :
1. Berpuasa - pahalanya seperti mengerjakan haji dan umrah, mati syahid
2. Mandi dan membersihkan diri - Nescaya hati tidak akan mati dan tidak jatuh sakit pada tahun itu kecuali mati
3. Melebihkan perbelanjaan dalam keluarga - Diluaskan Allah rezekinya serta beroleh keamanan dan kesihatan
4. Mengusap kepala anak yatim dan menaruh belas kasihan terhadap mereka - Diangkat oleh Allah darjatnya kesyurga. Sesiapa yang berbuat baik terhadap anak yatim pada hari Asyura, seolah2 ia telah berbuat baik kepada semua anak yatim.
5. Menziarahi orang alim (bnyak ilmu) dan belajar sesuatu ilmu daripadanya - Pahalanya seperti orang Muhajirin dan Ansar
6. Menziarahi orang sakit. Pahalanya seolah2 ia telah menziarahi semua orang yang sedang sakit.
7. Bersedekah - Pahalanya seperti bersedekah 1 tahun kepada zuriat Nabi Adam dan seolah2 ia tidak pernah menolak permintaan orang yang meminta kepadanya seumur hidup.
8. Membaca Surah Al-Ikhlas sebanyak 1000 kali - Doanya dimakbulkan Allah
9. Sunat bercelak mata - Insyaallah tidak terkena sakit mata atau matanya di lindungi Allah daripada maksiat
10. Sunat menginai dan memotong kuku
11. Menjamu dan memberi minum kepada orang - Allah akan memberi seteguk air pada hari akhirat di mana dengan seteguk air itu tidak akan haus buat selama2nya.
12. Solat sunat 4 rakaat 1 salam pada waktu Asar - Diampunkan Allah dosanya selama 50 tahun terdahulu dan terkemudian
13. Memperkukuhkan silaturrahim - Insyaallah di panjangkan usianya
14. Memperbanyakkan zikir dan selawat

Manakala bubur Asyura yang cukup terkenal pada Hari Ayura ini diperbuat dari pelbagai campuran. Ia mesti mempunyai 10 jenis ramuan. Menurut satu sejarah, bnyak laman web yang menyebut kisah asal usul bubur Asyura ini. Dinukilkan dalam kitab "Nihayatuz Zain" karangan Syeikh Nawawi Al Banteni, dan di dalam kitab "Nuzhatul Majalis" karangan Syeikh Abdur Rahman Al Ushfuri serta di dalam kitab "Jam’ul Fawaid" karangan Syeikh Daud Al Fathoni. Yang antara lainnya menceritakan bahawa, ketika mana bahtera Nabi Nuh a.s. berlabuh di bukit Juudi pada Hari Asyura’, maka berkatalah ia pada umatnya :

"Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih2". Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila’ iaitu kacang ful (kacang poi) dan satu genggam kacang Adas, Ba’ruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji2an yang dimasak. Maka berkatalah Nabi Nuh A.S : "Masaklah sekeliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang".

Namun menurut penilaian (sila rujuk http://abuumair1.wordpress.com), Cerita seperti ini perlu kepada kajian. Dari manakah sumbernya dan apakah taraf kedudukan kisah ini. Jika kisah ini sahih sekalipun, dan menerima kaedah ‘Syarak sebelum kita adalah syarak kita juga’, persoalannya adakah makanan yang dibuat oleh Nabi Nuh a.s. adalah satu bentuk jamuan sempena 10 Muharram, atau ia adalah makanan biasa yang berkebetulan pada tarikh 10 Muharram? Jika benar kisah ini, dan betul istinbat orang Melayu bahawa disunatkan membuat bubur berdasarkan cerita ini, mengapa tidak ada anjuran daripada Rasulullah saw atau amalan para sahabat tentang perkara ini? Mungkin sandaran lain bagi jamuan bubur Asyura ialah hadis-hadis tentang memberi galakan supaya pada hari Asyura hendaklah menghulur dan berkongsi kesenangan dengan kaum keluarga.

Cuma, membuat bubur Asyura itu kalau setakat dijadikan adat, tanpa ada kepercayaan keagamaan, ia bukanlah satu yang salah. Kalau orang Melayu suka berbuka puasa dengan bubur Asyura, buatlah bubur Asyura. Tetapi elakkan kepercayaan yang kurang sahih, seperti mengaitkannya dengan makanan Nabi Nuh a.s. sewaktu berlabuhnya bahtera baginda.

Sumber :
1. Tazkirah
2. http://abuumair1.wordpress.com/2009/12/26/asal-usul-bubur-asyura

p/s : Di Msia sahaja ada pelbagai jenis rupa bubur Asyura dan pelbagai resepi yang berbeza...setakat ini, aku sendiri tak pernah menikmati kesemua jenis bubur Asyura ini.

Related Articles :


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sahabat2 Setia

izryn's blog Copyright © 2010 Premium Wordpress Themes | Website Templates | Blogger Template is Designed by Lasantha.