Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum

Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum

Friday, February 17, 2012

Qarin Sipendamping Manusia




"Bismillahirrohmanirrohim......." Memulakan pagi Jumaat yang mulia dan penuh keberkatan ini dengan Kisah Qarin – Jin Kembar Manusia. 


Firman Allah: “Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu (Qarin) temannya yang tidak renggang daripadanya.” (Az-Zukhruf 43:36). 

Qarin dari perkataan Arabnya yang bermakna teman atau rakan. Istilah Qarin di sini bermaksud roh-roh jahat dari kalangan makhluk-makhluk halus yang mengiringi kelahiran seseorang bayi yang menjalankan tugas tetap untuk setiap manusia bagi menyesatkan manusia ke jurang kebinasaan. 

Firman Allah SWT dalam Surah Qaf Ayat 27 : “(Semasa ia dihumbankan ke dalam neraka Jahannam, ia mendakwa bahawa Syaitanlah yang menjadikan dia sesat; pada saat itu) Rakannya (Syaitan) berkata: “Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong).” 

Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping manusia. Boleh dikatakan ia sebagai ‘kembar’ manusia. Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini pasti ada Qarinnya sendiri. Rasulullah s.a.w sendiri tidak terkecuali. Cuma bezanya, Qarin Rasulullah adalah Muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir. Pada umumnya Qarin yang kafir ini kerjanya mendorong dampingannya membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was, melalaikan solat, berat nak baca Al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan. Kewujudan Qarin ini ialah untuk menggoda manusia, menampakkan hal-hal yang buruk dan yang jahat-jahat seolah-olah baik pada pandangan mata manusia. Qarin sentiasa berusaha untuk menjerumuskan manusia dengan mengajak mereka melakukan kemungkaran dengan cara menggoda, merayu, memujuk dan menipu. 

Untuk mengimbangi usaha Qarin ini Allah utuskan malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat. Tersebut dalam al-Quran tentang tugas-tugas malaikat. Di antara mereka ada yang tugasnya mencatat amalan makhluk setiap hari, mencatat segala ucapan, dan ada yang membawa wahyu kepada rasul-rasul dan nabi-nabi. Ada pula yang menjadi duta-duta. Ada pula yang bertugas memelihara al-Quran, ada yang menjaga syurga dan ada yang menjaga neraka. Di antara mereka juga ada yang sentiasa berdoa siang dan malam, memuji-muii Allah dan bersujud. Ada pula yang sentiasa berdoa agar makhluk yang taat kepada Allah diberi keampunan. 

Tersebut juga Dalam Al-Quran tentang adanya malaikat yang datang membawakan ilham kepada Maryam bahawa dia akan diberi putera, atau yang kelihatan oleh Rasulullah s.a.w. ketika beliau mula-mula menerima wahyu. Disebut juga tentang malaikat yang bersayap, satu-satu, dua-dua, tiga-tiga dan empat-empat. Tersebut juga dalam Al-Qu'ran bahawa malaikat yang datang membawa wahyu kepada rasul-rasul itu namanya Jibril, yang juga disebut Ruhul-Amin dan Ruhul- Quds. Manusia yang sentiasa beriman dan istiqamah (tetap hati) akan didatangi oleh malaikat-malaikat untuk menghilangkan rasa takut dan dukacita mereka. 

Dalam peperangan Badar malaikat telah datang menolong orang-orang Islam, sampai 3,000 malaikat jumlahnya. Dijelaskan juga dalam hadis-hadis bahawa malaikat-malaikat itu memberi ilham yang baik kepada manusia, yang melahirkan keteguhan semangat dan iman. Ketika manusia diberi ilham yang baik oleh malaikat atau was-was yang buruk oleh syaitan, maka yang menerima ilham atau was-was itu bukanlah badan kasar, melainkan roh manusia jua. Tidak ada seorang pun yang dapat melihat dengan matanya sama ada malaikat atau syaitan yang datang memberi ilham atau was-was, melainkan pengaruh mereka itu masuk ke dalam jiwa atau perasaan orang yang berkenaan. 

Kenyataan ini dikuatkan oleh sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Termizi, an-Nasa'i, demikian bunyinya; "Sesungguhnya dari syaitan ada semacam gangguan kepada anak Adam, dan dari malaikat pun ada pula. Adapun gangguan syaitan ialah menjanjikan kejahatan dan mendustakan kebenaran, dan sentuhan malaikat ialah menjanjikan kebaikan dan menerima kebenaran. Maka barang siapa merasai yang demikian, dia hendaklah mengetahui bahawa perkara itu dari Allah, dan terima kasihlah ia kepadanya. Tetapi kalau didapatinya yang lain, maka dia hendaklah berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam." 

Kemudian ia membaca: "Syaitan menyuruh menjanjikan kamu kefakiran dan menyuruh kamu melakukan kekejian." Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh Qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca “Bismillah” sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyak berzikir, membaca Al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah. 

Rasulullah s.a.w bersabda: “Tiada seorang pun daripada kamu melainkan sudah diwakili bersamanya Qarin daripada jin dan malaikat." Mereka bertanya: “Engkau juga ya Rasulullah?” Sabdanya: “Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat ku islamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja.” (Hadith Riwayat Muslim dan Ahmad). 

Sabda Rasullullah SAW bermaksud: "Sesungguhnya syaitan itu berjalan dalam diri manusia mengikuti pejalanan darah. Oleh sebab itu, aku takut syaitan melontarkan sesuatu tuduhan atau satu kejahatan dalam hatimu."(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)(as-Syaikhan). 

Aisyah r.a menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah s.a.w keluar dari rumahnya (Aisyah), lalu Aisyah berkata: “Aku merasa cemburu.” Tiba-tiba Baginda s.a.w berpatah balik dan bertanya: “Wahai Aisyah apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?” Aku berkata: “Bagaimana aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah.” Sabda Baginda s.a.w: “Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitan?” Aku bertanya: “Apakah aku ada syaitan?” Sabda Baginda s.a.w: “Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin.” Aku bertanya lagi: “Adakah engkau pun ada syaitan ya Rasulullah?” Jawab Baginda: “Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk Islam.” (Hadith Riwayat Muslim). 

Ibn Muflih al-Muqaddasi menceritakan: Suatu ketika syaitan yang mendampingi orang beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan yang mengikuti orang kafir itu gemuk. Maka ditanya mengapa engkau kurus, “Bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah dia berzikir, makan dia ingat Allah, apabila minum pun begitu.” Sebaliknya syaitan yang mengikuti orang kafir itu pula berkata: “Aku sentiasa makan bersama dengannya dan begitu juga minum.” 

Qarin akan berpisah dengan ‘kembarnya’ hanya apabila manusia itu (kembarnya) meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh, sedangkan Qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang. Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi Qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan yang dilakukan manusia itu. Ada juga dalam sesetengah keadaan, pengamal perubatan menggunakan khidmat Qarin untuk tujuan tersebut. Namun lebih selamat jika menghindari dari perlakuan ini. Kerana telah diterangkan bahawa sifat Qarin ini adalah jahat pada asalnya. Dan menjadi baik (islam) apabila diislamkan. Tetapi tertakluk kepada tahap-tahap yang tertentu (Rasulullah). 

Sedangkan dalam hadith Nabi SAW telah menyatakan. Daripada Ibnu Umar r.a., sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Aku dilebihkan daripada Nabi Adam a.s. dengan dua perkara, iaitu pertama syaitanku kafir lalu Allah menolong aku sehingga dia Islam. Kedua, para isteriku membantu akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan isterinya membantu ia membuat kesalahan." (Riwayat Baihaqi). 

Telah dinyatakan yang Qarin Nabi Adam a.s tidak diislamkan. Maka lebih sangsilah pada kedudukan (iman) Qarin manusia umum ini. Jadi untuk menjadikan Qarin itu sebagai salah satu usaha ikhtiar perubatan adalah membimbangkan.  Jelasnya bahawa setiap orang itu mempunyai Qarin. Di antara Qarin dan manusia, perbezaannya ialah manusia adalah seumpama bahan tunggangan, manakala Qarin (iblis dan syaitan) adalah penunggangnya. Demikianlah, perbandingan yang diberi oleh Rasulullah s.a.w. Maksud menunggang bukanlah seumpama manusia itu menunggang kuda, menjadikan syaitan itu seumpama seorang penunggang yang sentiasa berada di atas jasad manusia dalam keadaan yang tidak dapat dilihat. Maksud sebenar hadis ini ialah iblis dan syaitan itu sentiasa berazam dan berusaha supaya manusia menurut kehendaknya. Banyak diantara mereka yang terpedaya dengannya sehingga menjadikan manusia itu memandang benda-benda yang baik itu buruk dan yang buruk itu baik serta menarik, cantik serta mengghairahkan, lantas mereka menentang perintah Allah s.w.t. Mereka inilah golongan yang menjadi bahan tunggangan Qarin.

p/s : 


Aku berlindung dengan Allah dari godaan syaitan yang kena rejam 








Related Articles :


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sahabat2 Setia

izryn's blog Copyright © 2010 Premium Wordpress Themes | Website Templates | Blogger Template is Designed by Lasantha.