Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum

Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum

Friday, August 27, 2010

Yang Jahil dan Yang Ilmu


Suatu petang yang damai di dalam sebuah komuter.

Setibanya di suatu stesen pintu terbuka. Menjengah masuk ke dalam seorang bapa dengan dua orang anak lelaki kecilnya. Si bapa mencari kerusi yang masih kosong untuk melabuhkan punggung, menyandar diri mencari keselesaan dan terus melelapkan mata.

Tinggalla
h kedua-dua orang anak lelaki kecilnya yang berlari dengan bising dari hujung ke hujung memanjat tiang dan bergayut pada tempat gantung tangan selain bergumpal sesama sendiri sehingga menjatuhkan buku dan majalah penumpang lain. Penumpang di dalam gerabak itu memandang sesama sendiri dengan wajah marah.Suasana gerabak telah berubah menjadi kalut dan merimaskan bahana dua orang anak kecil ini. Lebih menyakitkan hati apabila melihat si bapa yang tersandar dan tenggelam dalam dunianya sendiri.

Seorang penumpang bangkit dan duduk di sebelah si bapa dan berkata-kata dengan lembut dan perlahan menahan rasa gerutu,
"Saudara maafkan saya….Anak anda sebenarnya sangat mengganggu kami."
Si bapa terkejut sambil membetulkan duduknya dan memohon maaf beberapa kali.

Tiba-tiba kelihatan ada air mata bergenang di kelopak matanya dan suaranya tersekat di kerongkong. Wajahnya berubah sambil menarik nafas panjang dia seperti menyimpan sesuatu yang sangat berat.
"Sebenarnya pada minggu lepas, isteri saya sering mengadu sakit di bahagian dalam kepalanya. Kami pergi ke sebuah hospital pakar dan hasil ujian sangat mengejutkan kerana terdapat satu ketumbuhan yang sedang menekan otak isteri saya dari dalam. Dia rupa-rupanya mengalami penyakit lampington. Sejak hari itu dia ditahan di hospital dan terpisah dengan dua orang anak kami."

Tuturnya penuh sayu dengan nada sangat perlahan.
"Saudara, sejak hari itu dua anak saya bertukar menjadi sangat murung. Mereka tidak mahu menjamah makanan dan apabila tidur malam pula sering terkejut sambil menjerit memanggil ibunya. Tiada yang dapat saya lakukan sama sekali."

Dia berhenti sambil melontarkan pandangan ke arah kedua-dua anaknya yang leka bermain.
"Semasa melawat isteri saya, dia sering mendesak untuk berjumpa dengan kedua-dua anak ini tetapi kami tidak mendapat kebenaran untuk itu. Pada hari semalam sambil menangis dan memegang tangan saya, isteri saya merayu untuk berjumpa dengan anak ini walau dengan berapa harga sekalipun."
Bicaranya terhenti lagi menahan sebak.

"Saya berjumpa dengan pihak atasan dan dengan berat akhirnya kebenaran diberikan untuk saya membawa mereka pada hari ini." "Semalam apabila saya pulang dan membawa berita gembira ini, anak saya yang murung terus bangkit kegembiraan mereka berlari di sekeliling rumah dan mereka hampir tidak tidur sepanjang malam kerana bercerita tentang ibu yang mereka rindui dan esok sungguh menyeronokkan."
Tambahnya sambil membetulkan duduknya.

"Hari ini semuanya berjalan lancar, kedua-dua anak saya telah bersiap awal. Ketika saya mengunci rumah anak saya tidak habis-habis menarik saya agar segera bertolak, tiba-tiba telefon bimbit berbunyi, saya mengangkatnya, suara di hujung talian meminta saya segera ke hospital."
Sekali lagi dia berhenti menahan sakit di dalam.

"Panggilan itu memberitahu, isteri saya telah meninggal dunia".
Kali ini dia berhenti, tunduk menahan gelombang sebak di dada. Esakan dan sedu tangisnya jelas kedengaran.
"Saya rasa dunia ini gelap sekali. Pedihnya berita ini, peritnya rasa ini. Lebih berat lagi saya tidak punya kekuatan dan bahasa untuk menyampaikan berita ini kepada dua orang anak saya. Saya takut untuk memikirkan kebenaran bahawa seminggu yang murung itu hanya sedikit rupanya berbanding hari-hari mendatang yang bakal mereka lalui tanpa belaian seorang ibu."
Patah bicaranya dalam, sembilu tajam seperti menyayat-nyayat rasanya.

Penumpang tadi tiba-tiba merasa bahawa segenap rongga hatinya dilimpahi simpati deras yang menyerbu masuk ke setiap penjuru bersama nafasnya. Dia menoleh dan melihat wajah comel kedua-dua anak kecil yang masih leka bergumpal, tetapi kali ini dengan pandangan dingin digenangi simpati amat!

Dia sempat menjeling ke sekeliling pada wajah penumpang lain yang masih lagi mengerut muka dan mencebik menahan kemarahan. Dia berfikir seandainya semua orang di dalam gerabak ini tahu apa yang sebenarnya berlaku tentu tiada api kemarahan pasti setiap mereka juga turut akan memberikan selaut simpati.

Sebenarnya apakah yang membezakan seseorang dengan seseorang lain dalam hidup ini? Ya, ia terletak pada sejauh mana dia berpengetahuan dan berilmu. Penumpang yang tahu tadi berbeza seluruh persepsinya berbanding penumpang-penumpang lain. Itulah keajaiban ilmu, dia berupaya membuka dimensi yang tidak mungkin akan diteroka oleh orang jahil.

Namun apa yang menakutkan adalah bagi orang jahil, dia tetap akan mencari jawapan. Mereka terus bertanya ke dalam diri sendiri untuk memecah persoalan tentang hidup. Apakah yang menjawab dan siapakah memberikan mereka pedoman? Ketika itulah kejahilan yang menjawab. Yang pasti ia menunjuk ke arah kesesatan dan kegelapan tanpa hujung. Ia seperti ’black hole’ yang menelan segala-galanya termasuk cahaya.

Orang jahil akan berbuat dan berindak mengikut pandangan kejahilannya. Kejahilan tidak bisu tetapi yang pasti kemudiannya semua perbuatannya menyimpang jauh daripada kebenaran. Ini paling menakutkan! Oleh itu jangan bertanya kepada kejahilan kerana ia menjawab.


Oleh : Zul Ramli M Razali (petikan : Riza Saffiya)

p/s : Daripada Abdullah bin Amr bin ‘ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda,

"Bahawasanya Allah swt. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah swt. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain."
[H.R. Muslim]

Related Articles :


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sahabat2 Setia

izryn's blog Copyright © 2010 Premium Wordpress Themes | Website Templates | Blogger Template is Designed by Lasantha.