Seorang wanita yang dermawan telah menghadiahkan seekor kambing kepada  Loqman al-Hakim dan berpesan;
"Sembelihlah kambing ini dan berikan saya bahagian yang terburuk  daripadanya untuk saya makan."
Setelah kambing itu disembelih, Loqman mengirimkan kepada wanita  tersebut hati dan lidah kambing itu. Beberapa hari kemudian, wanita itu  sekali lagi menghadiahkan seekor kambing dan berpesan agar dikirimkan  sebahagian daripada kambing tersebut kepadanya.
Namun pada kali yang kedua ini, bukan lagi bahagian terburuk yang  diminta oleh wanita itu, tetapi dia meminta bahagian yang terbaik  daripada kambing itu untuk dikirimkan kepadanya. Setelah kambing itu  disembelih, Loqman tetap mengirim hati dan lidah juga kepada wanita itu. 
"Mengapakah tuan mengirimkan kepada saya lidah dan hati ketika saya  meminta bahagian yang terburuk? dan mengapakah lidah dan hati juga  dikirimkan ketika saya memesankan bahagian yang terbaik daripadanya?"
Tanya wanita tersebut kepada Loqman. Loqman menjawab;
"Hati dan lidah amatlah baik ketika baiknya dan apabila keduanya buruk  maka amatlah pula buruknya."
Mendengar jawapan itu, mengertilah wanita itu akan maksud Loqman. Hati  dan lidah itu adalah pokok segala kebaikan dan begitu juga sebaliknya.  Dari hati dan lidah juga akan terbit segala kejahatan dan keburukan.
Berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. رضي الله عنهما beliau  berkata:
Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya  perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara  tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan  orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka  sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan  barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh  dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di  sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke  dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya  sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah  bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik  maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh  jasad. Ketahuilah ia adalah hati."
(Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim)
2 days ago
 

 
 
.jpg) 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 








