“Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap  temannya dan sebaik baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik  terhadap jirannya.” (Hadis riwayat al-Hakim)
Dari Nu’man bin Basyir r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Perumpamaan  persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka  adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka  mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak bisa tidur.” (Hadis  riwayat Muslim)
“Seorang Muslim adalah saudara muslim lainnya, ia tidak menzaliminya,  merendahkannya, menyerahkan (kepada musuh) dan tidak menghinakannya.”  (Hadis riwayat Muslim)
“Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu  teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama,  melihat gerak-gerinya teringat mati.”
Banyak sekali hadis-hadis tentang kawan/sahabat ini. Ada pula pepatah  Melayu mengatakan, “Berkawan biar seribu, berkasih biar satu.” Saya  lebih selesa dengan berkawan biar berpada jumlahnya, lihat kualiti,  bukan kuantiti. Dan berkasih jangan cuma satu saja, kalau mampu, biar  ramai. Kasihkan Allah, Rasul-Nya, pasangan (suami/isteri) , anak-anak,  keluarga, kaum kerabat, jiran dan juga kawan atau sahabat.
Allah SWT mencipta makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan.  Begitu juga manusia, tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh  lari dari berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang. Jika ada manusia  yang tidak suka berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, dia  dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri-ciri sebagai seorang manusia  yang normal.
Inilah antara hikmah, kenapa Allah SWT mencipta manusia daripada  berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman Allah SWT yang  bermaksud, “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang  laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa  dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (dan beramah mesra  antara satu sama lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara  kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu.  Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (surah  al-Hujurat [049] ayat 13)
Dalam Islam, faktor memilih kawan amat dititik-beratkan. Hubungan  persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau  sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu. Ada kawan yang  sanggup bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang  juga kawan yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi  kegembiraan sahaja.
Terdapat ayat yang mengisyaratkan mengenai peranan dan pengaruh kawan,  antaranya firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman!  Bertakwalah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang bersifat benar.”  (Surah at-Taubah, ayat 119)
Pendek kata sahabat boleh menentukan corak hidup kita. Justeru, jika  salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari  dengan hadis Rasululah SAW yang bermaksud, “Seseorang itu adalah  mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa  yang menjadi temannya.” (Hadis riwayat Abu Daud).
Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari, bermaksud: “Diumpamakan rakan  yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual  minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan  mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau  harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda  terbakar, atau mendapat bau busuk.”
Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Nasihat yang boleh diikuti  dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan al-Qamah (seorang  sahabat Rasulullah SAW) kepada anaknya, “Wahai anakku, sekiranya engkau  berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau  memilih orang yang sifatnya seperti berikut.”
1 - Pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan  diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi  keperluan.
2 – Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan  untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa  terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka  menghitung-hitungkan (menyebutnya) .
3 – Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan  untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa  terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai  keburukkan dirimu ia suka menutupinya.
4 – Pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya,  pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika  ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka  membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.
5 – Pilihlah sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan  ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan  sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau  berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.
Dalam memilih sahabat kita hendaklah memilih sahabat yang baik agar  segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan  bersama-sama sahabat yang mulia.
Remaja yang bebas lepas daripada pandangan ibu-ayah perlu berhati-hati  memilih kawan. Kawan mampu membahagiakan juga menjahanamkan kita.  Terdapat juga kawan-kawan yang melalaikan kita terhadap Maha Pencipta.  Kawan yang baik membantu kita ke arah pencapaian matlamat, iaitu  kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat. Kawan yang tidak baik hanya  membantutkan usaha kita ke arah itu.
Dalam kitab al-Hikam ada menyebut, “Jangan berkawan dengan seseorang  yang tidak membangkitkan semangat taat kepada Allah, amal kelakuannya  dan tidak memimpin engkau ke jalan Allah.” Dalam satu hadis yang  bermaksud, “Seseorang akan mengikuti pendirian (kelakuan) temannya,  kerana itu tiap orang harus memilih siapakah yang harus didekati sebagai  kawan (teman).”
Sufyan Astsaury berkata, “Siapa yang bergaul dengan orang banyak harus  mengikuti mereka, dan siapa mengikuti mereka harus bermuka-muka pada  mereka, dan siapa yang bermuka-muka kepada mereka, maka binasalah  seperti mereka pula.”
Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat seperti di bawah:
1. Sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan  meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.
2. Sahabat yang hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan  hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati  dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan  tidak sanggup.
3. Sahabat pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak  kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang tidak  berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan  di belakangmu ia merendahkan dirimu.
4. Sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau  suka pesta, suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak  sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan.
Ali bin Abi Thalib r.a. berkata, “Sejahat-jahat teman ialah yang memaksa  engkau bermuka-muka dan memaksa engkau meminta maaf atau selalu mencari  alasan.”
Kemungkinan engkau berbuat kekeliruan (dosa), maka ditampakkan kepadamu  segala kebaikan, oleh kerana persahabatanmu kepada orang yang jauh lebih  rendah akhlak (iman) daripadamu.
Berkawan dengan seorang bodoh yang tidak menurutkan hawa nafsunya, lebih  baik daripada berkawan dengan orang alim yang selalu menurutkan hawa  nafsunya. Maka ilmu apakah yang dapat digelarkan bagi seorang alim yang  selalu menurutkan hawa nafsunya itu, sebaliknya kebodohan apakah yang  dapat disebutkan bagi seorang yang sudah dapat mengekang (menahan) hawa  nafsunya.
Bagaimana akan dinamakan bodoh, seorang yang telah dapat menahan dan  mengekang hawa nafsunya, sehingga membuktikan bahawa semua amal  perbuatannya hanya semata-mata untuk keredhaan Allah SWT dan bersih dari  dorongan hawa nafsu. Sebaliknya, apakah erti suatu ilmu yang tidak  dapat menahan atau memimpin hawa nafsu dari sifat kebinatangan dan  kejahatannya.
Dalam sebuah hadis ada keterangan : “Seorang itu akan mengikuti  pendirian sahabat karibnya, kerana itu hendaknya seseorang itu  memperhatikan, siapakah yang harus dijadikan kawan.”
Menurut ahli syair pula : “Sesiapa bergaul dengan orang-orang yang baik,  akan hidup mulia. Dan yang bergaul dengan orang-orang rendah akhlaknya,  pasti tidak mulia.”
Bersahabat dengan yang lebih rendah budi dan imannya sangat berbahaya,  sebab persahabatan itu saling pengaruh-mempengaruhi,  percaya-mempercayai sehingga dengan demikian sukar sekali untuk dapat  melihat datu memperbaiki kesalahan sahabat yang kita sayangi, bahkan  kesetiaan sahabat akan membela kita dalam kesalahan dosa kekeliruan itu,  yang dengan itu kita pasti akan binasa kerananya.
Hati-hatilah memilih kawan, kerana kawan boleh menjadi cermin peribadi  seseorang. Apa pun berkawanlah kerana Allah SWT untuk mencari redha-Nya.
Source: From SIM Group
5 days ago







