Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum

Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum

Sunday, May 16, 2010

Rahsia wanita Jepun


TABIAT makan memang mampu mengubah diri apatah lagi jika rajin meneliti corak pemakanan yang diwarisi secara tradisional di pelbagai pelosok dunia.

Antara tabiat pemakanan yang sering menjadi tumpuan adalah diet warisan masyarakat Asia khususnya di Jepun, China, Korea, Vietnam, Thailand dan India manakala di Eropah, cara tradisional pemakanan masyarakat Perancis turut menjadi perhatian.

Hasil tulisan perunding pemasaran kelahiran Jepun, Naomi Moriyama menerusi bukunya berjudul Japanese Women Don't Get Old or Fat, menyelongkar petua di sebalik gaya hidup wanita negara matahari terbit itu yang muda bertenaga.

Dia bukanlah pengamal diet, tetapi rahsianya mudah saja menikmati masakan rumah cara Jepun.

Dia juga yakin jangka hayat hidup yang panjang dan kadar obesiti yang rendah di kalangan masyarakat Jepun banyak berkait dengan jenis makanan disediakan di rumah.

Membesar di Tokyo dan kini tinggal di New York, Amerika Syarikat, Naomi pernah mengalami pertambahan berat lebih 10 kilogram dengan ketinggian hanya 150 sentimeter ketika menuntut di kolej kerana banyak menikmati makanan Amerika.

Dia dan suaminya kini bertukar kepada cara makan tradisional Jepun.

Lebih langsing dan bertenaga, dia berkongsi strategi pemakanannya yang digelar sebagai tujuh rahsia dapur Tokyo.

Rahsia pertama, makanan yang menjadi keutamaan termasuk ikan, soya, nasi, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Kedua, sajian makanan adalah kecil.

Ketiga, sup miso menjadi sajian sarapan utama.

Keempat, memasak secara sederhana.

Kelima, nasi menggantikan roti.

Keenam, hanya jamah makanan pencuci mulut.

Ketujuh, wanita Jepun lazimnya tidak mengamalkan diet sebaliknya hanya makan apa saja yang digemari dalam jumlah sedikit.

Naomi mengakui masyarakat Jepun juga tidak makan hingga kenyang sepenuhnya kerana lazimnya mereka makan hingga 80 peratus kenyang.

Mereka juga banyak berjalan iaitu mereka mengambil peluang untuk berjalan ke mana saja.

"Makanan Jepun memberi tumpuan terhadap tenaga makanan yang dihasilkan dalam saiz yang memuaskan. Tidak perlu masak cara Jepun untuk menikmati asas diet yang menyihatkan, hanya makan lebih ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan serta tambah beberapa pilihan menyihatkan seperti taufu dan nasi," kata Naomi.

Menurutnya, cara hidup dan diet itu juga membuatkan masyarakat Jepun baik lelaki atau wanita, hidup lebih lama dan sihat.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jangka hayat wanita dan lelaki Jepun adalah 86 serta 79 tahun berbanding warga Amerika, 80 tahun (wanita) dan 75 tahun (lelaki).

Selain itu, masyarakat Jepun mencatatkan kadar obesiti paling rendah di kalangan negara maju iaitu kira-kira tiga peratus berbanding 11 peratus untuk Perancis dan 32 peratus Amerika.

"Mungkin ramai yang kata ia sebahagian daripada genetik kami, tetapi apabila orang Jepun mula mengamalkan cara pemakanan Barat, mereka cepat mengalami pertambahan berat badan," kata Naomi sambil menambah petua, seseorang itu harus makan dengan mata.

Menurutnya, keajaiban makan cara Jepun adalah keseimbangan yang menyihatkan dari segi inti makanan serta menyajikan makanan lazat yang rendah kalori.

Di samping itu, makanan harus disajikan cantik menerusi jumlahnya yang kecil dalam pinggan kecil molek.

"Menerusi cara itu, ia menggalakkan seseorang untuk 'makan dengan mata' dengan menikmati keindahan makanan. Hasilnya, kita akan makan dengan perlahan untuk menikmati setiap gigitan.

"Ini juga bermaksud, seseorang itu akan makan dalam jumlah yang sedikit kerana ia memberikan masa kepada otak untuk sedar bahawa tubuh kita sudah kenyang," katanya.

Menurutnya, secara purata masyarakat Jepun makan kira-kira 25 peratus kurang kalori setiap hari berbanding warga Amerika.

Makan hanya lapan peratus kurang daripada jumlah kalori setiap hari sambil meningkatkan aktiviti fizikal secara sederhana, mungkin memadai untuk menggalakkan usia yang lebih panjang, menurut penyelidikan Kolej Perubatan Universiti Florida.

Diet Jepun juga banyak pengambilan nasi iaitu kira-kira enam kali ganda lebih banyak daripada jumlah diambil seseorang yang mengamalkan pemakanan di Amerika.

Di Jepun, semangkuk kecil nasi dihidangkan bersama hampir semua sajian termasuk sarapan.

Karbohidrat kompleks yang rendah lemak itu memang mengenyangkan justeru, seseorang itu kurang keinginan untuk makan makanan berlemak seperti biskut dan pastri.

Menurut Naomi, masyarakat Jepun juga gila makan sayur. Sayur-sayuran seperti lada benggala merah, lada benggala hijau, kacang hijau, terung, bawang, tomato, kobis, lobak merah, bayam, pucuk rebung, akar teratai, cendawan shitake, kentang manis serta rumpai laut adalah antara yang digemari dalam pemakanan Jepun.

Malah, tiada siapa fikir ia sesuatu yang ganjil apabila mereka menyediakan sup sayur-sayuran atau salad untuk sarapan. Sayur-sayuran itu biasanya disediakan dengan rebusan berperisa, tumis bersama minyak kanola atau dikukus perlahan, semua kaedah itu mengekalkan jumlah khasiat yang maksimum.

Ikan seperti salmon, tuna, makerel dan sardin adalah sumber penting asid lemak omega-3 yang dikenali kerana manfaat kesihatannya untuk jantung.

Cuma, diet Jepun mungkin mengandungi sodium yang tinggi, justeru kurangkan pengambilannya terutama di dalam sos soya atau teriyaki atau menggunakan sos berkenaan dalam jumlah yang kecil.

Rahsia diet masyarakat Jepun itu jika diteliti, sesetengahnya ada persamaan dengan tabiat pemakanan yang diwarisi secara tradisional oleh masyarakat Perancis.

Seperti diketengahkan penulis Mireille Guiliano yang menghasilkan buku yang cukup laris beberapa tahun lalu, French Women Don't Get Fat, ada sesuatu yang harus dipelajari daripada sikap orang Perancis terhadap makanan.

Baginya, seseorang itu harus menikmati makanan, bukannya takutkan makanan.

Masyarakat Perancis rata-rata bukan saja menikmati makanan mereka, tetapi pada masa sama, mengawal berat badan menerusi perubahan kecil dalam tabiat pemakanan.

Mireille mengakui wanita Perancis biasanya makan mengikut waktu.

Mereka juga tidak kisah mengenai jumlah kalori makanan sebaliknya menjalin hubungan yang seimbang dengan makanan.

Ini bermakna seseorang itu harus memberi penekanan terhadap kualiti, bukannya kuantiti dan belajar untuk makan secara perlahan supaya dapat menikmati makanan, sekali gus mengelak tabiat makan dengan gelojoh.

Baginya, seseorang itu boleh menikmati apa saja makanan, tetapi ia harus secara sederhana.

Makanan Perancis biasanya mengandungi beberapa hidangan, tetapi sajiannya kecil dan makanan berkenaan berkualiti tinggi.

Saranan Mireille, menikmati secubit coklat berkualiti tinggi adalah lebih memuaskan selera daripada sekeping coklat bersaiz besar.

Keseimbangan yang dimaksudkan bukan saja membabitkan makanan, tetapi aspek lain.

Misalnya, jika seseorang itu menikmati pencuci mulut ketika makan tengah hari, dia lazimnya memilih hidangan makan malam yang agak ringan atau bersenam dengan berjalan sekeliling kediaman.

Meskipun tiada kajian saintifik dibuktikan, penyelidikan perubatan turut menyokong fakta ini

Kajian Universiti Pennsylvania, Amerika misalnya mendapati meskipun kebanyakan makanan Perancis mempunyai kandungan lemak yang tinggi, masyarakat Perancis biasanya menikmati saiz hidangan yang lebih kecil dan kebanyakannya mengambil jumlah kalori yang lebih sedikit berbanding kebanyakan masyarakat AS.

Related Articles :


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sahabat2 Setia

izryn's blog Copyright © 2010 Premium Wordpress Themes | Website Templates | Blogger Template is Designed by Lasantha.