Wajah yang cantik, kemas dan indah, mampu menawan hati seseorang.  Melalui kemerduan suara mampu menangkap minat dan cinta seseorang. Budi  bahasa dan pekerti baik, mampu meraih perhatian dan kasih seseorang.
Ringan tulang, banyak membantu serta sering ambil berat terhadap masalah  orang lain, sering menjadi benih sehingga tanpa sedar ia mengikat jiwa  mereka yang dibantunya.
Walaupun belum benar-benar mengenali individu yang punyai sifat tadi.  Jiwa pasti akan tertarik sedikit demi sedikit. Jika benar cara  pembawakannya, ia membawa kepada yang lebih baik, demikian juga  sebaliknya.
Para ahli musik sama ada nasyid dan lagu dengan mudah punyai pengikut,  peminat fanatiknya. Semuanya penangan suaranya, wajahnya dan mungkin  semakin mendalam apabila mengenali budi pekerti dirinya.
SAMI YUSUF
Mendengar nasyid zikir yang dipersembahkan oleh Sami Yusuf bertajuk  "Asma Allah" dalam album terbaru beliau ini boleh menyentuh banyak jiwa.  Saya kira ramai yang boleh tertarik dengan persembahannya, suaranya,  kandungan zikirnya. Ramai juga yang boleh jatuh kasih tanpa sengaja  kepadanya hanya kerana persembahan ini.
Namun, Sami Yusuf dengan suaranya, beserta individu-individu yang  dianugerahkan Allah swt untuk memiliki minda yang kreatif dalam  karangannya, miliki wajah tampan, kacak, cantik, pemilik bahasa sastera  indah dengan olahan bijak serta menusuk jiwa, individu bepekerti baik,  penyantun, individu yang ringan tulang membantu orang lain serta  lain-lain kelebihan. Semua mereka menjadi sumber kasih seseorang.
Sesudah terpautnya hati, seseorang mampu berbuat pelbagai benda pelik  demi untuk yang dikasihinya. Sebagaimana insan bercinta sesama insan,  yang malam tidak dirasa, perkara berat terasa ringan, beban dirasa  nikmat dan sebagainya.
Menurut Ibn Hazm, cinta itu sulit dihuraikan. Namun ada beberapa tanda   seseorang yang telah jatuh cinta, iaitu ( rujuk Tuq al-Hamamah) :-
Pertama : Kecanduan memandang orang yang dikasihi. atau apa sahaja  barang kepunyaannya lalu mengingatkan kepada pemiliknya. Itu sahaja sudah  sebuah nikmat.
Kedua : Segera menuju ke tempat kekasih berada, sengaja duduk dekatnya  dan mendekatinya.
Ketiga : gelisah dan gugup ketika ada seseorang yang mirip dengan orang  yang dicintainya.
Keempat :  kesediaan untuk melakukan hal-hal yang sebelumnya enggan  dilakukannya. Adapun perbuatan yang mencacatkan cinta menurut Ibn Hazm  adalah mereka yang berbuat maksiat antara lain adalah berzina dll.
Justeru kiranya seorang telah jatuh cinta kepada Allah dan RasulNya,  pasti dia segera  selalu berdua-duaan denganNya melalui solatnya, Pasti  resah dan gugup tatkala melihat dan membaca ayat-ayatNya. Rela dan  gembira untuk melakukan apa sahaja untuk mencapai redha Allah walau  sukar dan memeritkan pada mata dan aqal manusia lainnya. Semuanya  menjadi mudah kerana kasih dan cinta.
KITAKAH ITU ?
Sedarkah kita bahawa semua kecantikan yang wujud di alam ini hanyalah  secebis zarah dari keindahan Allah swt, tuan punya dan pemilik kepada  segala sesuatu. 
Imam Abu Hamid Al-Ghazzali ketika mengulas bab cinta Allah dan Rasul di  dalam kitabnya 'Ihya Ulumiddin' menegaskan.. faktor-faktor biasa yang  disebutkan di atas menjadikan manusia jatuh hati, kasih dan cinta kepada  manusia lain, hingga adakalanya mencapai tahap fanatik.
Namun bagaimanakah kita terlupa bahawa Allah mempunyai segala sesuatu  sebab musababb untuk manusia jatuh kasih kepadanya, malangnya kita  sering terhalang dek kelebihan manusia. Mari kita sama-sama teliti  nama-nama Allah yang dinasyidkan oleh Sami Yusuf ini, sebahagian  nama-nama ini mewakili sifat-sifatNya.
Jika cantik dan indah menjadi puncanya, maka Allah adalah yang  terindah..keindahannya terzahir dari makhluknya.
Jika banyak membantu menjadi sebabnya, Ya Allah maha membantu...udara  yang disediakan, matahari yang memancar, alam yang penuh dengan rezeki  serta nikmatnya. Ya Allah tidak terkira nikmatNya...
Demikian juga Rasulullah SAW yang menjalankan tugasnya sebagai pesuruh  Allah swt. Bertungkus lumus membantu kita agar terselamat di alam  barzakh dan akhirat kita. Tidak terhutang budikah kita dengan  kesungguhannya.?
Allah dan s.w.t dan Nabi Muhammad s.a.w, paling layak menerima kasih dan  cinta kita. Namun kelemahan kita sering gagal memujuk hati ini untuk  jatuh kasih kepadaNya, akibat dihalang oleh tembok besar dunia, tembok  besi kejahilan, tembok penipuan yang dipasang Syaitan.
Ya Allah Ya Tuhan, bantulah kami kasih kepadamu, dan segala amalan yang  boleh membawa kami kasih kepadaMu dan peroleh kasihMu, dan hampir dengan  manusia yang boleh membawa kami kasih kepadaMu.
Firman Allah s.w.t :-
قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ  وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا  وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ  إِلَيْكُم مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ  فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللّهُ بِأَمْرِهِ وَاللّهُ لاَ يَهْدِي  الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
Ertinya : Katakanlah: ""Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara,  isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan,  perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat  tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan  Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah  mendatangkan keputusan-Nya."" Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada  orang-orang fasik" ( At-Tawbat : 24 )
 Ya Allah "ultuf bina" ( be gentle with us)..o forgiver ..forgive our  sins...Ya Rasulullah, terimalah kami sebagai umatmu.
Coretan tazkirah ringkas untuk diri dan pembaca web saya. Moga kita  dirahmati Allah.
 Zaharuddin Abd Rahman
1 day ago
 

 
 
.jpg) 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 








