Apa perasan kita jika berselubung di dalam selimut tebal di waktu tengahari? Cuba lakukan ia selama sepuluh minit sambil berbaring seperti sekujur tubuh yang telah mati. Tanpa kipas, penghawa dingin dan tingkap dan pintu di tutup rapat.
Siapakah yang mampu bertahan lebih dari 30 minit ?
Sudah tentu minda dan tubuh kita tidak mampu menanggung ketidakselesaan itu walaupun hanya untuk 10 minit. Saya pasti kerana saya pernah mencubanya. Panas dan berhaba.
Setiap kali saya fikirkan semula percubaan saya itu, saya terfikir keadaan di alam barzakh kelak..terutamanya di liang lahad yang sempit, tertutup, tanpa penghawa dingin, tilam, tingkap serta kipas itu.
Sewaktu kita berada di alam barzakh kelak, adakah pancaindera dan penilaian minda kita terhadap alam ini sama seperti sewaktu kehidupan biasa kita di dunia?
Apabila saya utarakan hal ini. Ramai yang menjawab : "Tidak" atau juga "tidak tahu"
Apa jawapannya sebenar ?
Suka saya membawakan sebuah hadis berikut :-
ان رَسُولَ اللَّهِ ذَكَرَ فَتَّانَ الْقُبُورِ فقال عُمَرُ أَتُرَدُّ علينا عُقُولُنَا يا رَسُولَ اللَّهِ فقال رسول اللَّهِ نعم كَهَيْئَتِكُمُ الْيَوْمَ
Ertinya : Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w menyebut berkenaan ujian-ujian di dalam kubur.
Lalu Umar al-Khattab r.a bertanya : "Adakah akan dikembalikan kepada kita aqal-aqal kita (di dalam kubur kelak)?"
Nabi menjawab: Ya, (ia akan dikembalikan) sebagaimana keadaan kamu (sekarang) :
(Riwayat Ahmad, no 6603, 2/172 ; Ibn Hibban, 7/387 ; Majma Zawaid , 3/47 : Al-Haithami : Perawi Ahmad adalah Sohih kecuali terdapat Ibn Lahi'ah ; Syeikh Syuaib : Hasan Lighairi)
Bagaimana pula jika terpaksa menunggu di alam kubur ni sepanjang seribu tahun sebagaimana yang dikenakan kepada si Abu Jahal. !
Dalam keadaan status penilaian aqal kita sama seperti di waktu hidup, tetapi status keadaan tubuh dan keselesaannya adalah diletakkan di ruang liang lahad yang kecil, berselimut dek kain kapan dan ditimbus oleh tanah.
Namun, bagi mereka yang derhaka kepada Allah swt, disebutkan di dalam sebuah lagi hadis :-
إن للقبر ضغطه لو سلم أو نجا منها أحد لنجا سعد بن معاذ
Ertinya : "Sesungguhnya di dalam kubur itu terdapat himpitan, dan jika seorang itu mampu selamat darinya sudah tentu (salah seorangnya) adalah Sa'ad Bin Muadz ( seorang sahabat Nabi yang hebat )" ( Riwayat Ahmad, dengan sanad yang baik ; al-Mughni 'an hamlil asfar, no 4466, 2/1237 ; Ibn Hibban, Sohih, 7/379 ; Al-ahadith Al-Mukhtarah, Dhiya ad-Din al-Maqdisi, 5/200 ; Al-Maqdisi : Perawinya thiqat)
Ya, ruh terperangkap di dalam jasad di kuburan dan merasai azab himpitan dan lainnya yang amat berat lagi perit. Moga kita dijauhkan Allah swt dari keadaan ini.
Hanya amal soleh yang dapat memberikan keselesaan tatkala itu. Ye, benar, bagi yang bersedia, bersukar untuk mempelajari, mengamalkan, dan mengajarkan Islam kepada orang ramai dengan ikhlas dan tulus, mereka akan dikurniakan kenikmatan barzakh yang bermula dengan ruhnya diangkat dan dimasukkan ke dalam burung-burung berwarna hijau dan berterbangan serta menikmati makanan di pepohon syurga. Demikian sabdaan Nabi s.a.w yang mengatakan :-
إنما المؤمن طائر يعلق في شجر الجنة حتى يرجعه الله إلى جسده يوم يبعثه
Ertinya : Sesungguhnya ruh orang mukmin itu seperti burung (atau berada di dalam burung - bermakna tidalah kelihatan ruh manusia berterbangan), yang menikmati hidangan (dan berterbangan bebas) di pepohon Syurga sehinggalah dikembalikannya oleh Allah ke jasadnya di hari kebangkitannya. ( Riwayat Malik, Tirmidzi & Ibn HIbban : Hadis Sohih ; Ibn Hibban, Arnout, Syakir)
Bagi orang yang bertaqwa, di ketika sihat inilah peluang terhebat mempersiapkan diri. Bagi individu yang hatinya diselaputi sifat nifaq dan dosa. Ia adalah a 'piece of cake' dan 'need no worries', hidup untuk ENJOYYYY!! . Nau'zubillah.
Sekian,
Zaharuddin Abd Rahman
2 days ago
2 comments:
Post a Comment