Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum

Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum

Wednesday, June 23, 2010

Cuci Jangan Tak Cuci


Cuci jangan tak cuci..Apa yang hendak dicuci? Baju yang kotor menyebabkan tuannya dipandang pengotor dan disisihkan, bahkan tuan punya badan pun tidak selesa dengan keadaan itu..Pinggan yang kotor yang tidak dicuci mengakibatkan kulat datang bertandang lalat bertelur bahkan juadah tidak dapat disajikan kerana bekas untuk menyaji makanan sudah begitu kotor.Aduh busuknya dan tidak boleh menyantap makanan dengan baik. Begitu juga rumah yang kotor ala-ala rumah usang yang berhantu sudah tentu digeruni dan bayak lagi tafsiran kesan kekotoran yang langsung tidak dapat dimanfaatkan oleh orang sekeliling mahupun tuan punya badan.

Ini baru kekotoran zahir atau fizikal yang kaku dan tidak bernyawa yang nampak di mata kasar,bagaimana pula manusia yang bernyawa dan punya jasad yang zahir dan kaku ini? sudah tentunya yang menggerakkan nyawa kepada jasad yang kaku ini ialah roh yang mempunyai hati sebagai pusat kehidupan yang menentukan tindak tanduk baik atau buruk jasad yang bergelar khalifah. Keladak dan kotornya hati ini menatijahkan sifat sombong,bongkak,dengki dan busuk hati, memfitnah, mengumpat, melobi, rasuah, bermuka-muka, gila dunia dan harta,tak boleh dinasihati, sukar menerima pandangan orang dan seribu satu lagi sifat kontra kepada sifat khalifah yang menyebabkan insan ini tidak boleh dimanfaatkan oleh masyarakat sekeliling bahkan dirinya sendiri bak pinggan, baju dan rumah yang kotor tadi.

Nabi SAW bersabda:-

ألا وإن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله وإذا فسدت فسد الجسد كله ألا وهي القلب
( رواه البخاري ومسلم)

"Ketahuilah sesungguhnya pada sesebuah jasad itu ada seketul daging jika baik ketulan daging tersebut maka baiklah keseluruhan jasad tadi dan jika rosak ketulan daging tersebut maka rosak jualah keseluruhan jasad.Ketahuilah ia adalah hati"

Perlu diketahui sesuatu tindak tanduk kita samada baik apatah lagi buruk ada implikasi hukum disebaliknya,bahkan adanya undang-undang dan sunnatullah yang perlu diikuti. Maka dalam Islam syariat sebagai ”sign board” untuk menentukan sesuatu arah tuju betul ataupun tidak betul walaupun ”sign board” itu seolah olah jauh untuk sampai ke destinasi tetapi pastinya ia tepat.Tetapi jika tidak mengikut ”sign board” walaupun destinasi nampak hampir tetapi pasti sesat dan tidak sampai arah tujunya. Demikianlah perlakuan dan tindak tanduk kita, tanya pada diri kita dahulu sebelum melakukan sesuatu..Adakah tindakan aku ini melanggar syariat? Berdosa?salah?haram?menyus

ahkan orang?melanggar undang undang?!

Ini diajar oleh nabi SAW dalam sebuah hadisnya

البر حسن الخلق والاثم ما حاك في نفسك وكرهت أن يطّلع عليه الناس (رواه مسلم)

"Kebaikan dan pahala itu ialah cantik akhlak manakala keburukan dan dosa itu ialah sesuatu yang tidak tenang pada hatimu dan kamu membenci manusia melihatnya"

Perkara HARAM lebih perlu didahului dalam menilai sesuatu kemudian barulah WAJIB. Ini kerana kedua duanya adalah tuntutan yang putus dan pasti cuma yang bezanya ialah HARAM tuntutan untuk menahan daripada melakukan manakala WAJIB pula tuntutan untuk membuat. Ini kerana mudharat daripada perkara HARAM lebih teruk kesannya berbanding meninggalkan perkara yang WAJIB. Ini juga bermakna bukanlah meringan-ringankan perkara yang WAJIB sama sekali, tidak dan tidak.

Diterangkan lagi bagaimana nabi SAW bersabda :

تكن أعبد الناس ( الترمذي ) المحارم اتق

"Takutlah kamu kepada perkara-perkara haram kamu akan jadi manusia yang paling A’bid"

Ini dikuatkan lagi dengan kalam Abdullah ibn Umar yang menegaskan menolak 1/6 dirham perak yang haram lebih utama berbanding 100 ribu kamu bersedekah di jalan Allah. Bahkan kaedah feqah menyebut menolak kerosakkan lebih diutamakan berbanding mendapat kebaikan dan kemaslahatan. Justeru seorang yang solat 5 waktu tetapi berzina, berpuasa Ramadhan tetapi mengambil riba dan seumpamanya amat kena dengan situasi yang dimaksudkan tadi.

Itulah jua sebabnya mungkin ketika berlaku perjanjian Aqabah 1 isinya hanya berkisar kepada peninggalan benda-benda yang haram berbanding suruhan ibadah-ibadah tertentu iaitu ”jangan meyekutukan Allah dengan sesuatu, jangan mencuri, jangan berzina, jangan membunuh anak kamu, jangan mendatangi perkara-perkara yang keji di depanmu, dan jangan mengingkariku dalam perkara yang makruf”, kata nabi SAW.

Maka setiap sesuatu perbuatan yang hendak dilakukan mesti mengambil kira pertimbangan-pertimbangan yang disebutkan di atas tadi sebelum ianya dilakukan. Paling tidak pun jika kita jahil dan tidak tahu tentang hukum hakam tanyalah hati dan iman kita adakah perbuatan aku ini baik pada moralnya dan dipandang molek oleh manusia? kalau jawapannya tidak molek maka hentikanlah serta merta, inilah yang diajar oleh junjungan besar kita SAW.

Jangan pula asyik sibuk berderma,berkebajikan membuat amalan-amalan soleh, dalam masa yang sama segala macam kemungkaran berjalan lancar juga. Orang sebegini tetap dipandang hina,kerana mengikut pengamatan para ulamak terhadap kehendak syarak dan kefahaman sahabat-sahabat nabi SAW bahawa asal kepada ibadah adalah menjauhi apa yang Allah haramkan. Cuci jangan tak cuci perangai mazmumahmu.

Apa persepsi awal anda tentang mereka? Rasulullah SAW, Bill Gates, Tun Mahathir, Tok Guru Nik Abd Aziz, Datuk Lee Chong Wei, Bangsa Jepun, Cina dan Inggeris?..

Rasulullah SAW tentunya kita terbayang kepimpinan yang hebat yang melahirkan generasi yang digelar ’sebaik ummah’, Bill Gates dengan keazaman yang tinggi dalam mencapai matlamat bidang komputer dan perisiannya, Tun Mahathir dengan semangat dan disiplin kerja yang kuat, Tok Guru dengan kepimpinan melalui teladannya, Datuk Lee Chong Wei dengan semangat memperbaiki kesilapan lampaunya dan taat pada jurulatihnya, Bangsa Jepun yang terkenal dengan ketepatan waktu dan memandang sesuatu dengan positif, Bangsa Cina yang gigih bekerja dan Inggeris, yang bersih dan berjiwa besar dan sebagainya yang melambangkan sifat-sifat positif yang bertitik tolak dari kuasa dalaman roh dan hati yang bersih lagi kuat.

Bagaimana pula pula persepsi awal anda kepada Mona Fendi, Bangsa Melayu, Arab, Israel Zionis?! Tentunya persepsi yang negatif; Mona Fendi yang zalim dan menakutkan, Melayu yang pendengki dan malas, Arab yang suka bertelagah dan sombong, Israel Zionis yang ganas dan tidak berperi kemanusiaan.. yang disimbolkan dengan sifat-sifat negatif.

Bukanlah tujuan saya untuk menonjolkan sifat buruk ini tetapi bak kata Huzaifah ibn Yaman yang bertanyakan Rasulullah SAW tentang kejahatan saat sahabat lain bertanyakan tentang kebaikan belaka dengan alasan Huzaifah “takut ianya terjadi dan terlekat kepada diriku” disambut baik oleh Rasulullah dengan sabda hadisnya yang panjang mengenai kebaikan dan keburukkan. Jelas bahawa sifat positif di sini boleh membawa perubahan besar kepada diri, masyarakat, negara bahkan dunia dan begitu juga dengan sifat negatif yang membawa kesan sebaliknya.

Bila pula sifat-sifat negatif ni datang? Macammana pula ia datang? Makin tidak selesa dan tidak senang duduk dibuatnya. Bila Rasulullah dianggap Arab Mekah Jahiliyyah sebagai gilakan jawatan maka mereka mula membuat pelbagai onar kepada baginda dan sahabat-sahabatnya demi menjaga status dan takhta pengaruh mereka, bila mana si miskin yang akhirnya kaya lupakan asal-usulnya yang bertindak menghina memaki orang yang di bawah statusnya, bilamana si dia dapat pujian, anugerah dan sedikit kesenangan ada sahaja mulut yang mula mengorek segala kelemahan manusia yang kalau dicari pastinya ada lantas akhirnya menjatuhkan rakan sepasukannya..”biarlah kita sama tak dapat asalkan kau jangan lebih dari aku”.

Bilamana kumpulan ajaran sesat yang mahukan orang mengangkatnya dan memujanya sehingga melanggar segala syariat. Semuanya ini dapat disimpulkan daripada ت yang pertama iaitu takhta, maka ianya satu bentuk ujian besar yang mudah untuk disebut tetapi tak mudah untuk dielak. Bilamana pengaruh ت kedua menguasai dan menghantui diri iaitu wanita, segalanya diusahakan untuk memenanginya, sanggup menipu, berbelanja besar, yang negatif nampak elok, bahkan ada yang lupa dan mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak dan tidak kurang yang sampai bergolok gadai dan bermusuhan serta berbunuhan semata-mata kerana ت yang kedua ini.

Ini lebih parah lagi jika diuji dengan ت yang ketiga iaitu harta ketamakan haloba yang merakamkan pelbagai karenah birokrasi dalam pengurusan. Dari orang kampung yang papa hinggalah kepada mereka yang kaya dan berharta, amalan rasuah menjadi makan minum mereka demi mengejar dunia. Lantaran itu datang sifat tamak, dengki dan iri hati yang akhirnya menjadikan jin dan syaitan sebagai penolong untuk memusnahkan kebahagiaan orang lain.

Justeru bertaqwalah kita pada ujian dari tiga ت ini.. takhta, wanita dan harta yang melingkungi dunia ini supaya ianya bukan sebagai perosak diri dan masyarakat bahkan sebagai jambatan kita ke akhirat

Allah berfirman di dalam Surah Ali-Imran ayat 14:

"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda Yang diingini nafsu, Iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda Yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan Yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali Yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)."

Berapa kerap pula penyakit hati ini berlaku ye..? Sungguh kerap dan banyak kerana ianya telah membudaya dan menular seperti virus di depan mata dan di sekeliling kita. Umpamanya sepanjang hayat, kita memanggil binatang yang berbelang-belang di hutan, dari kumpulan karnivor dan lagi ganas sifatnya itu sebagai harimau, tiba-tiba namanya ditukar kepada unta, sudah tentu sukar untuk mengubahnya bukan..? Budaya dan sifat negatif ini umpama harimau yang sudah membudaya istilah ’harimau’nya sebagai binatang karnivor tadi, yang mana tidak mungkin dan mudah untuk dipanggil unta.

Begitulah juga dengan sifat mahmudah (baik) itu umpama istilah harimau yang hendak ditukarkan kepada unta, pastinya sukar. Lantaran itu istiqamah yang terbit dari diri orang mukmin itu yang mampu membawanya menongkah arus zaman yang mencabar ini kerana diibaratkan orang yang membawa perkara kebaikan di zaman fitnah ini seperti menggenggam bara api. Istiqamah dalam perkara kebaikan bukanlah satu anugerah tetapi ianya perlu diusahakan seperti Nabi SAW yang beruban rambutnya semenjak turun ayat dalam surah Hud yang memerintahkan baginda “beristiqamahlah kamu seperti yang diperintahkan.”

Firman Allah lagi dalam surah Hud ayat 112:

"oleh itu, hendaklah Engkau (Wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan Yang betul sebagaimana Yang diperintahkan kepadaMu, dan hendaklah orang-orang Yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; Sesungguhnya Allah Maha melihat akan apa Yang kamu kerjakan."

Untuk menggarap apa yang diertikan sebagai istiqamah tadi, nabi berusaha sehinggakan kerisauan nabi dalam memenuhi tuntutan ini mengakibatkan rambutnya beruban.Walaupun golongan yang mencapai istiqamah ini sedikit dan dagang tetapi tidak mahukah kita dan tidak berbanggakah kita apabila Nabi SAW menjamin: “beruntunglah bagi orang yang dagang dan pelik ini”?

Tak seronokkah kita jika hati yang istiqamah tadi tenang dan bahagia? Aman dan damai? Berapa ramai yang sanggup meninggalkan keselesaan hidup hanyasanya hati yang tidak tenteram? Di manakah letaknya kebahagiaan sesebuah keluarga dan rumahtangga tanpa paduan hati yang bersih dan jernih ini? Bukankah amannya masyarakat bilamana yang kecil melihat yang tua sebagai orang yang lebih baik dari sudut amal ibadatnya, manakala yang tua pula melihat yang muda sebagai insan yang bersih dan kurang perlakuan maksiatnya? Jatuh bangunnya sesebuah organisasi bukankah bertitik tolak dari sikap kerjasama, toleransi, hormat-menghormati, terus terang, muhasabah diri? Tidak harmonikah negara apabila kadar jenayahnya sifar, tiada pergaduhan kaum dan parti, kekayaan dan kepayahan dikongsi bersama, adil, cekap dan berkebajikan? Bahkan Allah hanya akan menerima hati yang sejahtera dan bersih sahaja pada hari kiamat kelak untuk bertemu denganNya sepertimana firman Allah SWT dalam surah Asy-Syua'ara ayat 88-89:

"Hari Yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,
kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang Yang datang mengadap Allah Dengan hati Yang Selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)"

Apa pula yang akan berlaku sekiranya hati yang kotor dan jijik itu bertakhta di dalam diri, rumahtangga, organisasi, masyarakat dan negara bahkan dunia? Sudah pastinya wujud ramai individu yang sombong, tamak-haloba , dengki dan iri hati, perogol, penzina, penipu, pengkhianat, pemecah-belah, kezaliman dan kemusnahan di sana sini dan banyak lagi. Nikmat kebahagiaan dan ketenangan kian sirna tetapi sentiasa diselubungi ketakutan, prasangka buruk, kebejatan dan kebobrokan.

Cuci jangan tak cuci.. Bagaimanakah pula cara menyuci hati dan sikap jelek dari hati yang rosak ini? Mana pula penawar dan ubatnya? Bolehkah ianya didapati di farmasi atau bengkel-bengkel membaiki kenderaan? Sudah tentu tidak!! Kerana sifat fizikal hati itu tidak boleh nampak dan tidak boleh dipegang sama seperti sifat manusia, begitulah juga perihal ubatnya. Ia bersifat maknawi dan bukannya material dan akan subur dan sihat dengan ubat yang sesuai dan serasi dengannya. Oleh itu, ubat pertama yang paling mujarab ialah dengan membaca al-quran yang merupakan sebaik-baik perkataan dan kalam, sebagai pembela di akhirat kelak bagi yang membacanya dan sebagai cahaya yang akan menerangi kuburnya kerana sepanjang hidupnya di dunia disuburkan dengan ‛nur’ Al-Quran.

Persoalannya berapa ramaikah dikalangan kita yang menjadikan Al-Quran itu sebagai zikir hariannya selain bacaan di dalam solat? Berapa ramaikah yang dapat membacanya dengan baik, berapa ramai pula yang meluangkan masa untuk mentadabbur dan memahaminya sebelum diamalkan isi kandungannnya? Atau ia hanya sekadar menghiasi dinding rumah dan almari perhiasan dan akan dibaca setahun sekali menjelang Ramadhan sehinggakan ianya umpama ’suci dalam debu’ dan tidak ubah seperti mushaf Quran yang dimuziumkan.

Ubat kedua ialah solat malam sebagaimana kata-kata Saidina Umar R.A dalam ucapannya yang beliau tidak mahu hidup di dunia ini kalau tidak ada 3 perkara ini: salah satunya ialah solat malam/ qiammullail. Begitu juga Rasulullah S.A.W yang maksum, yang diampunkan dosanya terdahulu dan terkemudian melakukan solat malam secara istiqamah semenjak turunnya surah al-Muzammil hingga ke akhir hayatnya bahkan kedua kaki baginda bengkak dan pecah dek lamanya berdiri untuk solat malam. Siapa pula kita jika dibandingkan dengan Rasulullah dan para sahabat? Malam kita lena diulit mimpi bahkan kewajipan solat fajar pun dihujung waktu?

Apabila sakit menjadi parah, antibiotik diberikan untuk menguatkan antibodi badan. Antibiotik bagi hati pula adalah puasa. Ubat ketiga ini amat mujarab melemahkan nafsu syahwat dan kehendak dunia yang membara. Baginda S.A.W berpesan supaya umatnya mengamalkan puasa sunat 3 hari dalam sebulan, begitu juga puasa Isnin dan Khamis. Kerana ia amat efektif untuk kelenturan hati dan nafsu yang sentiasa mengajak kepada kejahatan.

Ubat ampuh yang keempat ialah melazimi orang-orang soleh yang diibaratkan dalam hadis sebagai pemilik kedai minyak wangi yang wanginya akan terpalit juga walaupun hanya mendatanginya tanpa memakainya. Kawan memberi pengaruh besar dalam kehidupan kita. Baik atau buruknya kita bergantung dengan siapa kita berkawan. Jadi, siapa kawan atau lawan di sekeliling kita? Adakah mereka itu yang membicarakan bagaimana menambah kemewahan dunia dan hidup yang fana semata-mata? Perbualan yang berkisar cerita-cerita lucah yang melibatkan wanita atau hanya gelak tawa yang hanya menggelapkan hati dan boleh mematikan hati?

Manakala ubat yang keempat adalah zikrullah terutamanya bila dilakukan di malam hari ketika mana orang lain nyenyak tidur atau sedang berseronok dengan dunia. Tersebut satu cerita ketika mana Nabi SAW keluar tandas, baginda menyebut: ” keampunan dariMu ya Allah ku pohon”. Sahabat baginda bertanya “Kenapa Kau memohon ampun setelah keluar dari tandas?” Lantas baginda membalas : “ kerana waktu beberapa ketika di dalam tandas itu aku tidak boleh berzikir kepada Tuhanku” Begitulah hati akan hidup dan subur dengan zikrullah dan ia mati tanpanya.

Dapat disimpulkan bahawa hati juga perlukan ubat sebagai penawar dan pencuci berkuasa yang mampu menyahkan kekotoran hati yang boleh merosakkan dunia. Justeru, keempat-empat ubat yang diajarkan Rasul kepada kita ini amat mujarab diamalkan bagi mengekalkan kesuburan dan kualitinya. Rentetan itu, saya agak kurang senang apabila program-program pembangunan modal insan yang mengutamakan ubat-ubat ini dipandang sepi dan dipinggirkan berbanding program-program material yang menjadi agenda utama seperti mencantikkan sesebuah kawasan, bersukan, tuisyen yang bermatlamatkan skor A dalam semua matapelajaran, seminar menambah pendapatan segera dan seumpamanya.

Bayangkan jika modal insan ini diacu dengan acuan rabbani, pastinya dengan izin Allah kesemua perkara yang manusia sibuk dengannya yang saya utarakan tadi dapat diselesaikan dan digarap dengan cemerlang. Malah gejala sosial di Malaysia yang membelenggu kita dewasa ini yang tiada noktahnya dapat diselesaikan dengan santapan rabbani yang perlu diperkasakan diseluruh peringkat dan usia,malah sekolah cantik dengan tiadanya vandalisme,semangat untuk memperolehi A dalam matapelajaran tinggi tanpa perlu didesak untuk ke tuisyen,rajin berusaha memajukan diri sendiri dan negara kerana modal insan ini dibentuk dengan acuan yang betul tadi.

Kesimpulannya sikap yang baik dan positif bermula dari hati yang bersih, berlandaskan keimanan yang soheh merupakan kunci kekuatan ummah . Jika anda seorang bos yang menilai pekerja yang bermasalah, apakah faktor utama yang membuatkan anda mahu memecatnya? Adakah kerana kelulusannya? Mustahil kerana dia memang layak dari sudut kelulusannya. Adakah kerana kemahirannya? Mungkin juga tetapi ianya juga agak mustahil kerana sebelum ia masuk kerja telah dipastikan kemahiran yang boleh dicurahkan kepada organisasi dan ia mampu melakukannya.Tetapi faktor tak dengar cakap bos, ponteng kerja, rasuah, melawan dan pecah amanah boleh menjadi kayu ukurnya kerana ia berpunca dari sikap buruk yang terbentuk dari hati yang kotor.

Lalu formula ini akan membuktikan tingginya markah seseorang jika diukur dari sudut sikapnya dan bukan pengetahuannya atau kemahirannya dalam sesebuah temuduga yang berskala 1 hingga 10 pada setiap item iaitu ( Pengetahuan + Kemahiran ) x Sikap,atau ringkasnya ( P + K ) x S..

Jadi, apa tunggu lagi.. cuci jangan tak cuci...hati yang bersih dalam sesuatu jasad maka baiklah keseluruhan tindakannya tapi kalau jahat maka jahatlah keseluruhan tindakannya.

Selamat bermuhasabah!

Sumber :Ustaz Zamri

Related Articles :


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sahabat2 Setia

izryn's blog Copyright © 2010 Premium Wordpress Themes | Website Templates | Blogger Template is Designed by Lasantha.