Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum

Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum

Wednesday, June 23, 2010

Kelebihan Hari Jumaat


Sungguhpun hari ini bukan Jumaat, tapi aku terpanggil utk memasukkan entri tentang Hari Jumaat sebagai salah satu cabang ilmu yang sama2 kita boleh hayati bersama.

Hari Jumaat dianggap sebagai hari raya mingguan dalam Islam. Ia adalah hari penghulu segala hari. Dan setiap minggu pasti kita akan bertemu dengan Hari Jumaat. Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang bermaksud: Sebaik-baik hari yang matahari terbit pada hari berkenaan ialah hari Jumaat.

Pada hari itu Adam telah dijadikan, pada hari itu juga ia dimasukkan dalam syurga, dan pada hari itu juga ia dikeluarkan darinya.

Nama lain bagi hari berkenaan ialah yaumul `l-mazid (hari pemberian tambahan), kerana pada hari tersebut Allah akan memberi rahmat yang banyak kepada hamba-Nya. Segala permohonan yang diminta akan dikabulkan andainya permohonan itu menepati waktu yang dinamakan “waktu mustajab.”

Waktu mustajab ini tidak mempunyai ketentuan khusus. Dijadikan demikian bertujuan agar setiap hamba itu sentiasa beribadah dan berdoa kepada Allah dalam usaha mencari waktu berkenaan, yang terangkum pada hari Jumaat tadi.

Mengenai waktu mustajab ini Baginda s.a.w. ada bersabda: Malaikat Jibrail r.a., telah datang kepadaku, sedangkan di tapak tangannya ada satu cermin putih. Ia berkata: Ini adalah hari Jumaat, yang telah disediakan untukmu oleh Tuhanmu, untuk menjadi satu hari raya bagimu dan umatmu selepas kau. Di tengah-tengah cermin ini ada satu titik. Aku (Muhammad) bertanya: Titik apakah ini? Ia menjawab: Ia adalah satu saat daripada dua puluh empat jam, barang siapa berdoa kepada Allah taala pada saat itu, nescaya Allah s.w.t. memperkenankan permohonannya. Ia (Jumaat) adalah penghulu semua hari.

Mengenai kemustajaban doa orang yang memohon, yang menepati waktu mustajab ini, Baginda s.a.w. ada bersabda seperti yang tersebut dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah: Pada hari Jumaat itu ada satu saat yang apabila bertepatan dengan seorang Islam ketika ia sedang sembahyang, memohon sesuatu kepada Allah s.w.t., nescaya Allah s.w.t. akan memperkenankannya. Sambil ia mengisyaratkan dengan tangannya, menunjukkan sedikitnya waktu yang dimaksudkan itu.

Biarpun telah dijelaskan tentang tidak adanya ketetapan masa khusus bagi waktu mustajab menurut kebanyakan ulama, namun terdapat pendapat ulama yang berbeza mengenainya.
Dalam sebuah hadis daripada Abi burdah bin Abi al-Amusa al-Asy’ari r.a. beliau telah berkata bahawa Abdullah bin Umar r.a. pernah mendengar Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa waktu mustajab berkenaan ialah antara duduknya iman di atas mimbar sehinggalah sembahyang sempurna dilakukan.

Terdapat hadis lain menyatakan bahawa Baginda s.a.w. ada menjelaskan bahawa waktu tersebut ialah selepas waktu asar pada hari berkenaan. Barang siapa berdoa dan menepati waktu tersebut, maka Allah akan memperkenankan permohonan berkenaan.

Dalam sebuah hadis daripada Abi Salamah bin Abdul Rahman, beliau berkata, ada sekumpulan sahabat Rasulullah s.a.w. duduk berkumpul, lalu mereka membincangkan waktu mustajab yang terdapat pada hari Jumaat. Mereka kemudian pergi setelah menetapkan bahawa saat itu ialah pada akhir waktu hari Jumaat.

Jelasnya, penghulu segala hari dalam seminggu ialah hari Jumaat. Sebagai seorang hamba Allah yang ingin bertakarub, menghampirkan diri kepada Allah, dan melakukan sesuatu yang terbaik, seseorang itu perlu mengambil peluang dengan kehadiran hari yang mempunyai banyak fadilat, yang didatangkan sekali dalam seminggu dengan beribadah agar kehadiran manusia di muka bumi ini bertepatan dengan firman Allah (az-Zariyat:56), iaitu untuk beribadah kepadanya.
Setiap hari Jumaat, Allah s.w.t. mengutuskan malaikat ke bumi, mencatat nama mereka yang ke masjid. Malaikat-malaikat akan ke langit menyembahkan apa yang dicatatnya. Allah s.w.t. mengampunkan dosa-dosa mereka yang datang ke masjid.

Pada hari Jumaat, Allah taala mengutus malaikat ke muka bumi. Di tangan mereka kalam-kalam emas, juga kertas-kertas daripada perak, berdiri di pintu-pintu masjid, mencatat nama mereka yang masuk masjid, dan mendirikan sembahyang Jumaat. Apabila telah sempurna sembahyang, mereka kembali ke langit lalu berkata: Wahai Tuhan kami, kami telah catatkan nama mereka yang masuk masjid dan menunaikan Jumaat. Allah berfirman: Wahai malaikatKu, demi kemuliaan dan kebesaranKu, sesungguhnya Aku telah ampunkan mereka tidak berdosa sedikitpun.

Kebesaran hari Jumaat bukan hanya dimaklumi oleh manusia atau malaikat, tetapi semua makhluk Allah, termasuk kejadian lain seperti bumi, langit, angin dan lain-lain lagi. Kesemuanya memohon belas kasihan kepada Allah pada hari berkenaan.

Penghulu segala hari ialah hari Jumaat. Itulah hari yang teragung di sisi Allah taala, dan ia adalah lebih besar daripada hari raya fitrah dan korban. Pada hari itu terjadi lima peristiwa: Allah ciptakan Adam a.s. Allah turunkan Nabi Adam a.s. ke bumi. Pada hari tersebut Allah mematikan Nabi Adam, dan pada hari itu juga ada satu saat yang tidak ada seorang hambapun yang memohon sesuatu, kecuali Allah akan perkenankan permohonannya, selagi ia tidak meminta sesuatu yang haram. Pada hari itu juga terjadinya hari kiamat. Tidak ada satu malaikat pun, sekalipun yang amat dekat kedudukannya di sisi Allah, langit, bumi, angin, gunung juga lautan, melainkan kesemuanya memohon belas kasihan pada hari tersebut.

Di antara amalan yang perlu dilakukan pada hari berkenaan ialah:
* Memperbanyakkan istighfar. Rasulullah s.a.w. ada bersabda menyatakan bahawa barang siapa banyak beristighfar, Allah akan beri jalan keluar pada setiap masalah yang dihadapi, akan digembirakan andainya mengalami dukacita, dan akan diberi rezeki yang banyak.
* Memperbanyakkan selawat. Berselawat bererti berdoa, iaitu memohon berkat dan rahmat. Selawat daripada Allah s.w.t. bererti rahmat dan keberkatan. Allah melahirkan keutamaan dan kemuliaan serta meletakkan diri baginda lebih hampir kepada-Nya.

Selawat manusia ke atas Rasul s.a.w. bererti pengakuan tentang kerasulannya, juga permohonan kepada Allah agar Allah melahirkan keutamaan dan kemuliaan, iaitu memuliakan agama yang dibawa, serta melahirkan kemuliaannya terhadap kemuliaan nabi-nabi yang lain.

Tersebut dalam hadis-hadis tentang kelebihan berselawat, di antaranya ialah mendapat rahmat Allah. Menghampirkan diri kepada Allah. Memperoleh hubungan rapat dengan nabi.
Seseorang yang berselawat dan memberi salam, selawat dan salam itu akan sampai kepada Nabi s.a.w. Allah memberi pahala dengan berlipat ganda kepada orang yang berselawat pada hari Jumaat.

Rasulullah s.a.w. ada menjelaskan: Bahawa barang siapa berselawat untukku sekali, nescaya Allah s.w.t. berselawat untuknya sepuluh kali.
Rasulullah s.a.w. menyuruh agar setiap orang memperbanyakkan selawat kerana selawat itu akan menjadi cahaya bagi orang yang berkenaan pada hari kiamat kelak.
Barang siapa berselawat ke atas nabi pada waktu pagi sepuluh kali, dan petang sepuluh kali, maka dia akan mendapat syafaat s.a.w. pada hari kiamat kelak.
Setiap doa yang dipohon hendaklah disertakan dengan selawat. Doa seorang hamba itu terawang-awang di antara langit dan bumi, tidak berganjak sedikitpun sehinggalah seseorang itu berselawat ke atas nabi.

Rasulullah s.a.w. menggesa agar setiap orang itu memperbanyak selawat pada hari Jumaat. Pada hari kiamat nanti, semua amalan baik dan jahat akan diperlihatkan. Setiap selawat yang dituturkan akan diperlihatkan kepada Rasulullah s.a.w.

Allah mengampunkan dosa-dosa mereka yang berselawat. Rasulullah s.a.w. ada bersabda menyatakan: Siapa berselawat ke atasku pada hari Jumaat lapan puluh kali, diampunkan baginya dosa-dosa selama lapan puluh tahun.

Amalan lain yang perlu dilakukan ialah membaca al-Quran. Sebaik-baik ibadah ialah orang yang membaca al-Quran dan mengajarnya.
Dalam sebuah hadis dijelaskan Rasulullah s.a.w. ada bersabda menyatakan: Barang siapa membaca surah al-Kahf pada hari Jumaat, maka memancarlah cahaya dari bawah tapak kakinya hingga ke puncak langit. Cahaya itu terus menyinarinya pada hari kiamat dan diampunkan antara dua Jumaat.
Menurut sebuah hadis lain. Rasulullah s.a.w. bersabda: Barang siapa membaca surah al-Kahf di malam Jumaat dan di siang Jumaat, Allah s.w.t. akan mengampuni dosa-dosanya hinggalah ke Jumaat berikutnya, dan memohon kesejahteraan baginya tujuh puluh ribu malaikat sehingga pagi, dan ia terpelihara daripada penyakit sopak, kusta dan fitnah dajal.

Related Articles :


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sahabat2 Setia

izryn's blog Copyright © 2010 Premium Wordpress Themes | Website Templates | Blogger Template is Designed by Lasantha.