June 4, 2010, Friday
BERLIN, Jerman: Kapten Jerman, Michael Ballack disaran bersara daripada bola sepak antarabangsa oleh pengurus besar kelab Bayern Munich, Uli Hoeness dan melupakan hasrat untuk mengetuai Jerman pada Euro 2012.Ballack cedera pergelangan kaki ketika bermain untuk Chelsea pada final Piala FA bulan lepas dan tidak bermain di Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan dengan pemain pertahanan Bayern Munich, Philipp Lahm menjadi kapten pasukan di Afrika Selatan.
Ballack, 33, menyatakan hasrat untuk terus bermain sekurang-kurangnya sehingga Kejohanan Eropah (Euro) pada 2012 yang akan dilangsungkan di Poland dan Ukraine tetapi Hoeness menasihati beliau untuk menyedari bahawa ia adalah masa untuk bersara.
“Walaupun jika beliau berasa sedikit kecewa, anda harus mengetahui bila masanya sudah tiba,” kata Hoeness dalam majalah sukan Jerman, Bild.
“Saya tidak fikir ia bijak untuk melihat Euro 2012 sebagai objektif utama.”
Hoeness berkata kekecewaan Ballack gagal bermain di Piala Dunia yang ketiga boleh difahami tetapi tidak melihat Euro 2012 sebagai cadangan yang menarik terutama sekali dengan Ballack akan mencecah usia 35 tahun pada waktu itu.
“Jika ia adalah Piala Dunia, saya boleh memahaminya,” kata Hoeness.
“Tetapi Euro 2012 di Poland dan Ukraine bukan satu kejohanan impian yang masih memberikan keterujaan kepada beliau.”
Tetapi Ballack, yang bermain untuk Bayern Munich sebelum menyertai Chelsea, dilihat akan kembali ke bola sepak sebaik saja pulih dari kecederaan.
“Pada musim baru, saya akan kembali bermain,” kata Ballack. Saya harus kembali dengan sihat, ia adalah apa yang paling penting.
“Kecederaan boleh menjadi satu motivasi untuk menjadikan Euro 2012 sebagai sasaran baru saya.
“Saya tidak mahukan simpati, saya hanya mahu melihat ke hadapan.”
Pengurus besar pasukan Jerman, Oliver Bierhoff menyokong Ballack untuk kembali mengetuai Jerman di Euro 2012.
“Euro 2012 bagi beliau sememangnya boleh dicapai. Usia tidak penting,” kata Bierhoff, yang bermain 70 kali untuk Jerman dan bermain di Piala Dunia 2002 pada usia 34 tahun. — AFP
3 days ago